ANTONIO Conte menyatakan dia mengharungi musim yang "hebat" di Chelsea sambil menolak cadangan mentaliti rendah oleh juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kempen cemerlang Manchester City meninggalkan seteru elit England yang lain termasuk The Blues, tercicir 19 mata kepada peneraju liga itu dan hampir menyerah gelaran mereka.

Dalam kalangan enam pengurus terakhir yang telah memenangi liga, hanya Manuel Pellegrini yang kekal dalam kempen berikutnya - pengurus berbangsa Chile itu bertahan selama dua musim di City sebelum digantikan Pep Guardiola.

Kontrak Conte di Stamford Bridge berbaki sehingga hujung musim depan namun tetap tidak sunyi dengan isu pemecatan - laporan yang sering dinafikannya.

Chelsea hanya memenangi sekali daripada empat perlawanan terakhir manakala Tottenham Hotspur yang berada di tempat kelima terus menghambat mereka, begitupun Conte menegaskan anak buahnya tidak hilang fokus.

"Kami hanya hilang arah dalam satu perlawanan sahaja, iaitu kepada Watford (kalah 4-1)," kata Conte.

"Pada permulaan musim ini, dalam setiap perlawanan, mentaliti kami sentiasa berada di puncak.

"Sering wujud komitmen tinggi dan tingkah laku yang hebat, namun telah banyak kali saya katakan, saya sangat gembira menjadi jurulatih kepada pemain-pemain ini, saya sangat gembira, 100 peratus, untuk bekerja dengan pemain-pemain ini.

"Mentaliti kemenangan adalah tentang cara anda membuat persiapan, komitmen anda semasa sesi latihan, selalu 100 peratus dan mempunyai tingkah laku yang baik dengan jurulatih, rakan sepasukan, peminat, pasukan lawan... ini adalah mentaliti kemenangan."

Ditanya mengenai kempen musim ini, dia berkata: "Saya fikir biarlah kelab yang menghakiminya. Bukan saya secara peribadi.

"Apabila saya meletakkan 200 peratus usaha pada setiap hari di Cobham, secara peribadi ia sentiasa menjadi musim yang hebat buat saya, biarlah pihak lain yang menghakimi musim saya dan pemain saya."