JULEN Lopetegui berkata Manchester United merupakan kelab terbesar di dunia tetapi yakin Sevilla akan menang dalam separuh akhir Liga Europa hujung minggu ini.

Pasukan LaLiga itu mengesahkan pertemuan dengan juara edisi 2017, United, selepas menewaskan satu lagi pasukan Inggeris, Wolves, 1-0 di Cologne awal pagi tadi.

Yassine Bounou menyelamatkan sepakan penalti awal Raul Jiminez dan kegagalan itu jelas mengundang padah apabila Lucas Ocampos menanduk masuk gol kemenangan Sevilla pada dua minit terakhir.

United menewaskan Copenhagen 1-0 semalam dan akan bertemu skuad kendalian Lopetegui itu, yang memburu kejuaraan keempat sejak kejohanan itu dijenamakan semula pada 2009.

"Kami akan berdepan Manchester United dalam perlawanan seterusnya -- mereka pasukan terbesar di dunia tetapi kami akan bersedia menghadapi mereka.

"Kami fokus untuk menghadapi perlawanan berikutnya, menentang pasukan terbaik, pasukan bersejarah, salah satu sejarah terbaik dalam sukan ini dan berada dalam prestasi terbaik.

"Kami juga akan memberikan yang terbaik. Amat sukar untuk berdepan mereka tetapi kami percaya kami mampu menewaskan mereka," katanya.

Sevilla menguasai 76 peratus kawalan bola ketika berdepan Wolves tetapi hanya merekodkan beberapa percubaan sebelum Ocampos menjaringkan golnya yang ke-17 musim ini.

Lopetegui menegaskan pasukannya telah menunjukkan nilai yang tinggi untuk memenangi perlawanan itu dan menantikan satu lagi aksi yang sama ketika menentang United hujung minggu ini.

"Saya fikir kami layak menang hari ini. Kuncinya adalah melakukan hantaran-hantaran jauh dan bersabar menantikan waktu yang sesuai.

"Saya amat berbangga dengan pemain saya kerana kami berdepan pasukan yang amat baik. Kami perlu mendapatkan bola dan tidak melakukan kesilapan kerana mereka bergerak dengan amat pantas.

"Kami bermain dengan amat baik ke atas pasukan yang amat baik. Kami perlu menumpukan segala perhatian," katanya lagi.