PETARUNG Korea Selatan Jung Chan-sung berjaya menebus kekalahannya yang lalu selepas menundukkan Renato Moicano dalam aksi UFC Fight Night di Greenville, pada Ahad.

Terkenal dengan jolokan nama ‘The Korean Zombie’, atlet berusia 32 tahun itu menewaskan Moicano dari Brazil menerusi keputusan TKO pada minit 0:58 pusingan pertama.

Perlawanan bermula dengan tumbukan ‘jab’ kiri dari Jung, sebelum memulakan langkah lebih agresif pada saat ke-30.

Jung seterusnya melancarkan tumbukan ‘overhand’ dari tangan kanannya, diikuti satu tumbukan kiri, sekali gus merebahkan Moicano ke lantai gelanggang Octagon.

Dia kemudian membuat pukulan ‘ground and pound’ ke arah lawannya itu, memaksa pengadil menghentikan perlawanan untuk memberikan kemenangan kepadanya.

Dengan kemenangan tersebut, ‘The Korean Zombie’ kini memegang rekod profesional seni bela diri campuran (MMA), 15-5.

Dalam pada itu, dikhabarkan petarung featherweight dari Amerika Syarikat, Jeremy Stephens telah mencabar Jung untuk pertarungan seterusnya.

Menerusi ciapan di laman Twitternya, Stephens berkata jika perlawanan itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi antara pertarungan yang paling mengujakan di UFC.