PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, yakin barisan bimbingannya sama sekali tidak pernah berasa selamat dengan kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris ketika ini, apatah lagi bakal mengharungi jadual padat selepas sambutan perayaan Hari Natal.

Enggan ambil mudah persaingan musim ini, Klopp menegaskan bukan hanya Manchester City yang akan terus jadi pesaing utama 'The Reds', malah Tottenham Hotspur, Chelsea dan Arsenal juga kekal dalam pemburuan gelaran.

Membawa perbezaan empat mata daripada City, Liverpool bakal diuji dengan pertembungan 'boxing day' di laman sendiri berdepan Newcastle United pada Rabu.

Tekad mengakhiri penantian kejuaraan liga untuk tempoh lebih 28 tahun, anak buah Klopp dilihat pada landasan terbaik untuk merealisasikan impian itu.

Berdasarkan rekod lapan daripada 10 musim lalu, pendahulu Liga Perdana pada sambutan Hari Natal ini telah mengakhiri saingan selaku juara.

Pada masa sama, Klopp mengakui Liverpool sedang mengintai beberapa muka baru pada musim perpindahan Januari ini, termasuk dua pemain sayap Borussia Dortmund - Jadon Sancho dan Christian Pulisic serta pemain tengah PSG - Adrien Rabot.