BIDANG e-Sukan jangan sekadar dilihat sebagai terjemahan aspirasi golongan belia semata-mata, sebaliknya, aktiviti berkenaan wajar diterjemahkan dalam konsep simbol perkongsian antara negara di dunia.

Inilah yang cuba dibuktikan oleh Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) yang berhasrat mengajak atlet e-Sukan Malaysia untuk melahirkan bakat baharu dan memberi pengalaman kepada atlet negara.

Menurut Perwakilan Ekonomi dan Budaya Taiwan di Malaysia, Anne Hung, kerajaan negara itu berbangga dapat melibatkan diri dengan atlet Malaysia dalam usaha mengetengahkan sukan berkenaan ke peringkat global.

"Kami mensasarkan bahawa e-Sukan bukan sahaja mewakili semangat belia masa kini, bahkan ia juga boleh menjadi simbol negara untuk bekerjasama mencapai inovasi dan daya saing yang tinggi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Taiwan Excellence Esports Cup (TEEC) 2019 di pusat e-Sukan terkemuka negara, Pantheon, One City, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pelancaran TEEC 2019 di Pantheon merupakan inisiatif awal untuk atlet negara mempersiapkan diri mereka menyambut E-sukan sebagai sukan pertama yang akan diadakan pada Sukan SEA Games 2019 di Filipina.

Bahkan, pelancaran TEEC juga secara tidak langsung berupaya mengekalkan momentum hubungan baik di antara atlet E-sukan dari Malaysia dan Taiwan.

TEEC turut menjadikan Pantheon sebagai hub kepada atlet E-sukan negara untuk bertanding dan melayakkan diri ke pusingan akhir pada Mei hingga Oktober ini.

Sempena TEEC juga, beberapa jenama besar dalam industri perkomputeran menyatakan sokongan antaranya Acer, Asus, MSI, dan beberapa lagi jenama yang berteknologi tinggi.

Komitmen sokongan ini secara tidak langsung menyuntik semangat kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang E-sukan serta sebagai persiapan untuk menghasilkan atlet ini ke peringkat antarabangsa.

Yang menjadi keunikan TEEC 2019 ialah jumlah penyertaan dari seluruh negara telah mencecah seramai 10,000 orang dan setiap peserta mempunyai misi yang sama iaitu mahu memenangi hadiah berharga RM113,000 yang ditawarkan.

Pantheon yang menjadi pusat E-sukan pertama di Malaysia bukan sahaja dapat menjadi tempat latihan kepada atlet ini malah ia juga dijadikan pusat bagi atlet untuk mengeratkan hubungan sesama mereka.

Taiwan yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia dijangka melahirkan daya saing yang sihat dan juga dapat menjadi simbol negara untuk bekerjasama dalam memajukan E-sukan ini.