TERUK. Hanya itu yang dapat digambarkan oleh pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, ekoran prestasi hambar dalam perlawanan pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 di Arena Axiata, Bukit Jalil, malam tadi.

Gandingan Aaron-Soh Wooi Yik yang membuat kejutan muncul naib juara Seluruh England baru-baru ini, gagal ke suku akhir selepas tewas kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 9-21, 16-21.

Kekalahan mengejut pasangan negara itu sekali gus meranapkan impian untuk mengulangi aksi cemerlang di hadapan penonton tempatan.

“Untuk perlawanan hari ini, saya guna satu perkataan... teruk. Main tidak bagus. Mula daripada set pertama sudah ketinggalan banyak mata, tahap keyakinan juga kurang. Gandingan kami juga agak tidak lancar, macam ada putus, tidak ikut giliran.

"Macam tidak puas kalah hari ini. Masuk gelanggang main dan sudah kalah, keluar gelanggang pun tidak pasti apa berlaku. Untuk pemain, ini satu keadaan yang teruk,” kata Aaron.

Sementara itu, Aaron berkata masalah yang jelas dihadapi oleh dirinya dan Wooi Yik adalah tidak konsisten daripada segi ketahanan mental.

Katanya, perkara itu amat penting untuk diperbaiki dan akan berbincang dengan jurulatih, Paulus Firman, bagi mengharungi cabaran dalam kejohanan akan datang.

“Kami punya masalah ialah tidak konsisten mental dan hati, kalau kelajuan dan taktikal tidak apa. Kalah dengan tidak konsisten dan mental tidak cukup kuat, memang senang jatuh.

“Kalau main bagus, keyakinan kami ada. Kalau main tidak bagus, keyakinan kami tidak kuat (keyakinan hilang),” katanya.

Satu lagi gandingan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, turut gagal ke suku akhir, menjadikan tiada wakil negara dalam kategori beregu lelaki.

Yew Sin-Ee Yi tunduk kepada pilihan ketujuh dari China, Han Chengkai-Zhou Haodong, 17-21, 19-21.

Walaupun mengakui kecewa dengan kekalahan di hadapan penonton sendiri, namun Ee Yi mengakui perlawanan hari ini memberi pengajaran buat mereka.

“Kecewalah sebab tidak ada pemain yang hendak kalah, semua main hendak menang. Keyakinan memang ada, peningkatan pun sudah ada.

“Kami tahu apa yang kami kena perbaiki lagi. Itu saja yang kami perlu buat untuk bangkit,” katanya.

Hanya dua wakil negara akan beraksi dalam suku akhir, iaitu gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pasangan profesional, Peng Soon-Liu Ying, akan berdepan pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping, manakala gandingan Kian Meng-Pei Jing akan berdepan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow.