Temasya Sukan SEA 2019, Filipina akan menjadi penyertaan atlet eSports negara pertama ke temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia menjadi medan dan langkah pertama negara untuk mengenal pasti kelompok pertama atlet yang akan disenaraikan dalam program latihan sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN).

Jelasnya, sebanyak enam acara sukan elektronik akan dipertandingkan dalam temasya berkenaan.

"Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) selaku Persatuan Sukan Kebangsaan akan membuat pemilihan atlet di mana kelompok atlet ini akan menjalani latihan sepenuh masa untuk persediaan ke arah Sukan SEA 2019 bermula Jun 2019.

"ESM juga akan menganjurkan Liga Sukan Elektronik Malaysia untuk mengenal pasti ranking pemain mengikut acara masing-masing.

"ESM dengan kerjasama Kementerian kini dalam perancangan mewujudkan ranking atlet yang masih belum wujud lagi dalam arena sukan eSports," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) yang meminta Kementerian Belia dan Sukan menyatakan apakah program-program terbaru yang dirangka oleh pihak Kementerian untuk tahun 2019 dalam usaha menarik lebih ramai golongan belia bagi menceburi bidang eSport agar selari memenuhi kehendak Industri Revolusi 4.0.

Katanya, inisiatif awal telah dirangka ESM antaranya kejohanan akan dianjurkan dari peringkat negeri ke peringkat kebangsaan dan seterusnya peringkat antarabangsa untuk menarik lebih ramai golongan belia menceburi bidang eSports.

Tambahnya, pelan tindakan Sukan Elektronik Malaysia pertama yang dijangka siap April ini membolehkan program eSports dirancang dan diselaraskan secara berstruktur untuk pembangunan yang holistik dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu katanya, syarikat Razer yang merupakan syarikat peralatan eSports terkenal di dunia telah melancarkan pembukaan syarikatnya di Bangsar, Kuala Lumpur.

"Pembukaan syarikat ini telah membuka peluang pekerjaan kepada 280 orang. Syarikat Razer pernah menganjur dan menjadi penaja utama kejohanan-kejohanan sukan elektronik di seluruh dunia sejak awal tahun 2005.

"Syarikat ini akan bekerjasama dengan ESM bagi pembangunan eSports dari segi pemilihan atlet, keperluan kejohanan dan peralatan sukan.

"Selain penganjuran kejohanan, pihak persatuan juga akan menganjurkan bengkel, seminar dan persidangan sukan elektronik di setiap negeri bagi mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh tentang sukan ini," jelasnya.