Tottenham Hotspur menampilkan persembahan menakjubkan selepas ketinggalan 2-0 di tempat gergasi bola sepak Itali Juventus sebelum mengikat mereka 2-2 di Turin dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun pasukannya bolos dua gol dalam masa 10 minit pertama, Spurs yang diuruskan Mauricio Pochettino tidak pernah berputus asa untuk kembali dalam perlawanan.

Seperti biasa, penyerang utama Spurs Harry Kane mengurangkan kelebihan Juve pada minit ke-35 sebelum sepakan percuma Christian Eriksen memberi kelebihan buat Tottenham dalam perlawanan di Stadium Wembley pada 7 Mac nanti.

Keputusan ini serta kemenangan ke atas Real Madrid dan Borussia Dortmund di peringkat kumpulan membuktikan kemampuan Spurs untuk mara jauh dalam pertandingan ini pada musim ini.

Namun, mereka harus memperkemas permainan agar tidak ketinggalan seperti yang berlaku di Stadium Juventus.