Sempena sambutan ulang tahun ke-20, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian melibatkan beberapa kawasan penting di litar berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata pihaknya berusaha keras untuk membaik pulih dan meningkatkan kemudahan dalam usaha memberi kepuasan dan pengalaman maksimum kepada penonton yang menyaksikan pelbagai kejuaraan di litar berkenaan.

Antara perlumbaan dianjurkan di litar itu ialah Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP), FIA World Touring Car Cup, Kejuaraan Endurance Dunia FIM serta pelbagai perlumbaan tempatan seperti Siri Kejuaraan Malaysia, Kejuaraan Superbike Malaysia, Sepang 1000km dan acara sampingan lain.

"Penting untuk meletakkan pelanggan kami - penonton - sebagai keutamaan dalam usaha kami ini. Seperti dinyatakan sebelum ini, kami akan sentiasa meningkatkan kemudahan bagi memberi keselesaan dan keseronokan kepada penonton.

"Tahun ini akan menjadi tahun yang istimewa kerana kita akan meraikan ulang tahun ke-20," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razlan berkata susulan pemasangan lampu litar terdiri daripada 64 tiang itu, yang memberikan pencahayaan mencukupi untuk keselamatan pada acara waktu malam, SIC bersungguh-sungguh menyediakan persekitaran selamat dan selesa kepada penonton.

Beliau berkata kerja-kerja membaik pulih kini sedang dijalankan di Grandstand Utama melibatkan pertukaran struktur bumbung yang dikenal pasti mengalami kebocoran semasa hujan lebat menyebabkan ketidakpuasan dalam kalangan penonton.

"Ini kali pertama struktur bumbung ini digantikan sejak SIC dibuka pada 1999. Selaras dengan objektif menyediakan kemudahan lebih baik, tandas di tempat awam, grandstand dan paddock akan ditingkatkan bagi memberi wajah baharu dan disediakan dengan kelengkapan lebih baik bagi memberi keselesaan kepada penonton," katanya.

Mengenai keadaan trek, Razlan berkata kerja-kerja pembaikan akan dimulakan untuk penganjuran tiga kejuaraan besar tahun ini - MotoGP, Kejuaraan Touring Car Dunia dan Kejuaraan Endurance Dunia, yang akan berlangsung dari November hingga Disember.

Disifatkan sebagai pencetus perkembangan sukan permotoran di Malaysia sejak penubuhannya pada Mac 1999, SIC sudah melakukan pelbagai penambahbaikan sebelum ini.

Perubahan dan penambahbaikan dibuat termasuk menaik taraf kawasan bumbung di Paddock Utama bagi membolehkan penonton menyaksikan perlumbaan dari sudut pandangan paling atas, selain pembinaan paddock selatan dan chalet paddock disambut baik oleh pasukan perlumbaan dan pengguna trek.

Kemudian pada 2016, trek itu menjalani proses menaik taraf bagi meningkatkan lagi kualiti perlumbaan.

"Kami berharap dengan penambahbaikan dilakukan, penonton akan dapat menikmati acara-acara di litar tersebut dengan selesa kerana matlamat kami untuk terus menjadi destinasi utama sukan permotoran dan acara gaya hidup di Malaysia dan rantau ini," katanya.

-- BERNAMA