PERSEKUTUAN Bola Sepak Senegal (FSF) menyeru badan induk bola sepak dunia, FIFA supaya menyemak semula peraturan 'fair play' yang menyebabkan mereka tersingkir dari saingan Piala Dunia 2018 Rusia.

Peraturan yang baru diperkenalkan julung kalinya dalam temasya kali ini itu dilihat boleh merosakkan prinsip asal permainan bola sepak apabila sesebuah pasukan bergantung nasib kepada pungutan kad kuning dalam saingan peringkat kumpulan.

Ketika Colombia menjaringkan gol pendahuluan ketika pertemuan terakhir peringkat kumpulan menentang Senegal berbaki enam minit, Jepun yang sedang ketinggalan 0-1 dalam aksi bertemu Poland mula bermain sambil lewa dan tidak berusaha untuk menyerang dan menjaringkan gol.

Malah perkara itu diakui oleh jurulatih skuad Samurai Biru, Akira Nishino yang mengarahkan anak buahnya supaya tidak melakukan sebarang pergerakan yang boleh mendatangkan sebarang risiko yang boleh mengubah kedudukan semasa.

"FIFA harus menghukum pasukan yang beraksi sedemikian.

"FSF percaya Jepun secara teknikal enggan bermain sebaik mengetahui Colombia baru sahaja menjaringkan gol ke atas Senegal. Keengganan Jepun (untuk bersungguh-sungguh) bertentangan dengan prinsip-prinsip asas bola sepak," tegas jurucakap FSF, Kara Thioune menerusi satu kenyataan kepada BBC Sports.

Apabila Colombia mendahului Senegal pada penghujung perlawanan itu, mereka menerajui Kumpulan H dengan enam mata, sementara Jepun walaupun berkongsi empat mata dengan Senegal, mereka menduduki tempat kedua kerana mengutip kurang kad kuning ketika jumlah perbezaan gol antara dua pasukan itu adalah sama.

Tindakan itu telah menyebabkan Senegal yang tiada pilihan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada cabaran di Rusia, ketika Jepun mara dengan rasa bersalah, terlihat apabila perlawanan mereka menentang Poland berakhir dingin malah di 'boo' oleh penonton di stadium.

Lantaran itu, FSF melahirkan rasa kecewa atas semangat 'fair play' yang ditonjolkan pasukan Jepun, di mana ia mencabar tujuan asal peraturan itu diperkenalkan FIFA apabila ada pasukan yang tidak risau untuk mengendurkan permainan.

FSF turut memaklumkan bahawa mereka menghantar dua surat aduan kepada FIFA pada Jumaat lalu, salah satu daripadanya menyentuh mengenai aduan tentang mutu pengadilan ketika perlawanan menentang Colombia tempoh hari.