PERSEORANGAN wanita negara, Goh Jin Wei, tiada cara lain selain perlu mengerah kudrat untuk menumbangkan beberapa pemain utama Jepun dalam usaha untuk mengelak pulang awal dalam Kejohanan Seluruh England 2019.

2018 menyaksikan Jin Wei membuat penampilan pertamanya dalam kejohanan ini namun perjalanannya tidak lama apabila disingkirkan Aya Ohori dalam pusingan kedua.

Cerita sama mungkin berulang dalam edisi kali, apabila Jin Wei dijangka bertemu satu lagi pemain Jepun, Nozomi Okuhara, yang juga juara edisi 2016 dalam pusingan kedua, sekiranya Jin Wei berjaya melepasi pusingan pertama, menentang Sayaka Takahashi.

Sementara rakan sepasukan, Soniia Cheah, pula akan menentang Ohori kali ini dalam pusingan pertama.

"Saya tidak gementar berdepan mereka. Berdepan beberapa pemain berkualiti sebelum ini menjadi bekalan serta pengalaman untuk menghadapi Seluruh England," kata Jin Wei.

Ironinya minggu lalu, Jin Wei dinafikan peluang mara ke perlawanan akhir Terbuka Jerman setelah tumpas kepada seorang lagi Jepun, Akane Yamaguchi.

Namun untuk Jin Wei, dia berasakan prestasinya lebih baik berbanding persembahan buruk dalam Kejohanan Kebangsaan tempoh hari.

"Saya berharap dapat menghasilkan strategi yang lebih baik berbanding Terbuka Jerman," kata Jin Wei.