SELEPAS bergelar juara dunia dua sukan, petarung sensasi wanita Thailand, Stamp Fairtex kini menumpukan sasaran untuk mengejar kejuaraan bagi seni bela diri campuran (MMA) pula.

Stamp, 21 tahun, bakal bertemu petarung MMA wanita dari India, Asha Roka, minggu depan.

Meskipun baru sahaja membuat penampilan sulungnya di ONE Championship pada Oktober tahun lalu, dia sudah pun memegang gelaran juara dunia ONE Atomweight Kickboxing dan juga ONE Atomweight Muay Thai.

Sungguhpun begitu, saingannya yang bergelar 'Knockout Queen' itu dikatakan seorang petarung yang handal, membuatkan cabarannya kali ini agak sukar.

Roka, yang mempunyai empat kemenangan tanpa kalah, memenangi kesemua perlawanannya pada pusingan pertama menerusi 'knockout' dan juga 'submission'.

Sementara Stamp pula, mahir dalam teknik serangan seperti yang telah dibuktikan dalam pertarungannya sebelum ini.

Acara bakal diadakan pada 16 Ogos ini di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Ia turut akan menampilkan bintang-bintang lain seperti Giorgio Petrosyan, Jo Nattawut dan Petchdam Petchyindee Academy.