Anda semua telah berjaya mencipta sejarah untuk mewakili negara sehingga berada di peringkat ini, demikian luahan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau menyuarakan rasa bangganya terhadap prestasi skuad kebangsaan bawah 23 negara yang berjaya melangkah sehingga suku akhir dalam Kejuaraan B-23 AFC 2018 dalam satu kenyataan di laman facebook persatuan itu.

Lebih mesra dengan panggilan Tunku Mahkota Johor (TMJ), beliau menyifatkan keputusan semalam perlu diambil sebagai pengajaran bagi meningkatkan ilmu pada masa akan datang dan melakukan yang terbaik untuk negara.

“Walaupun kita kecewa dengan keputusan hari ini (semalam), semua pemain dan barisan kejurulatihan patut bangga dengan pencapaian anda semua.

“Anda semua telah berjaya mencipta sejarah untuk mewakili negara sehingga berada di peringkat ini. Sejarah ini tidak akan dapat dilupakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya di sini, semalam.

menyifatkan keputusan semalam perlu diambil sebagai pengajaran bagi meningkatkan ilmu pada masa akan datang dan melakukan yang terbaik untuk negara.

Dalam saingan peringkat suku akhir di Kunshan Stadium, China semalam, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee terpaksa menelan keperitan apabila rebah di tangan Korea Selatan 2-1.

Bagaimanapun, pemain negara berjaya mempamerkan aksi bertenaga bagi mengikat Korea Selatan 1-1 sehingga minit ke-84 sebelum Han Seun-gyu menjaringkan gol kemenangan lawan ketika perlawanan berbaki lima minit.

Gawang Malaysia awal dirobek Harimau Putih, ketika permainan hanya bermula 15 saat daripada Cho Jae-wan menewaskan penjaga gol negara, Haziq Nadzli.

Kedua-dua pasukan berbalas asakan, hingga akhirnya N Thanabalan menghidupkan kembali peluang untuk mara pusingan separuh akhir menerusi tandukan terbang pada minit ke-67.

BACA: AFC B23: Harimau rebah bermaruah

Sepanjang kejohanan itu Malaysia berjaya mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan di peringkat kumpulan C dengan keputusan tewas 1-4 kepada Iraq, seri 1-1 di tangan Jordan sebelum mencipta sejarah menewaskan Arab Saudi 1-0 untuk mara ke peringkat suku akhir berdepan Korea Selatan.