MESKIPUN sudah mencipta pelbagai kejayaan dalam kancah bola sepak tempatan, pemain berpengalaman, Safiq Rahim, mengakui masih mendahagakan kejayaan selepas membantu Melaka menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Hang Jebat, kelmarin.

Menerusi sepakan penjurunya, Safiq membantu penyerang import Melaka, Anselmo Casagrande, menjaringkan gol tunggal yang menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan buat skuad Hang Tuah itu.

Baginya, kemenangan itu penting bagi memastikan Melaka terus bersaing dalam Liga Super musim ini.

"Syukur Alhamdulillah, kami kembali ke landasan yang betul hasil kerja keras semua pihak.

"Saya berharap rentak kemenangan ini akan berkekalan dan kami menyasarkan untuk mendapatkan tiga mata lagi dalam perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super (menentang Felda United, Jumaat ini).

"Ia penting bagi memastikan kami kekal bersaing dalam liga," katanya.

Ditanya mengenai pretasi semasanya dalam skuad Melaka, bekas kapten pasukan kebangsaan itu menambah: "Saya sudah beraksi dalam kebanyakan perlawanan musim ini dan saya mahu berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang banyak membantu saya.

"Saya masih mendahagakan kejayaan. Saya masih mahu mencipta sejarah untuk diri saya.

"Apa yang penting, pasukan ini perlu bersama-sama mengecap kejayaan dan bukannya secara individu," tambahnya.