Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim berhasrat mahu beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) sebelum menggantung butnya dua ke tiga tahun lagi.

Pemain kebangsaan itu yang telah memenangi kesemua piala utama di dalam Liga Malaysia termasuk Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Liga Super, mendedahkan jika beliau dapat beraksi dalam pertandingan tahap tertinggi kelab bola sepak Asia itu sebelum bersara, ia bagaikan mimpi jadi kenyataaan buat dirinya.

Setakat ini, JDT tidak pernah melepasi pusingan awal ACL, setelah tewas menerusi sepakan penalti dengan dua kelab dari Thailand -- Bangkok Glass dan Muangthong United menerusi penentuan tendangan penalti, masing-masing pada 2015 dan 2016.

"Saya mahu ke Liga Juara-Juara Asia dahulu. Ini adalah impian dalam kerjaya peribadi saya, jadi saya mahu beraksi di (peringkat kumpulan) Liga Juara-juara Asia sebelum saya bersara dalam dua atau tiga tahun lagi," katanya ketika dipetik dalam satu wawancara yang dimuat naik dalam laman sesawang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), www.the-afc.com.

Dalam hal ini, Safiq yakin skuad Harimau Selatan itu bersedia berhadapan Muangthong, naib juara Liga Perdana Thailand dalam pusingan kedua ACL di Stadium SCG, Nonthaburi, Thailand, Selasa ini.

Bagaimanapun, beliau akur pasukan dari Thailand itu bukannya lemah biarpun dengan penghijrahan pemainnya ke luar negara termasuk penjaga gol Kawin Thamsatchanan dan pengatur serangannya Chanathip Songkrasin.

"Bagi saya semua pemain dalam Muanthong adalah bagus. Apa yang paling penting bagi kami, ialah Johor Darul Ta'zim. Jika kami dalam keadaan yang baik , kesemuanya baik dari segi taktikal dan kami semua mematuhi arahan, saya rasa kami akan mendapat keputusan positif.

"Kami tahu Muanthong adalah pasukan yang bagus. Dua tahun lepas, mereka memiliki ramai pemain kebangsaan Thailand, pemain muda dan pemain luar yang bagus, jadi kami perlu lakukan persiapan rapi sebelum berhadapan mereka, " katanya.

Dalam hal lain, beliau yakin bahawa skuad bola sepak negara akan beraksi dengan lebih baik tahun ini dengan perancangan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempunyai banyak idea bernas untuk membawa bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.

-- BERNAMA