Peminat sukan bola sepak pantai negara bakal berpeluang melihat aksi dua bekas bintang bola sepak antarabangsa, Roberto Carlos dan Eric Cantona pada 'Langkawi International Beach Soccer Tournament 2019' (LIBS 2019) yang julung kali diadakan pada 24-28 Ogos depan.

Kejohanan melibatkan kelab dari Sepanyol, Itali, Perancis, Bahrain atau Iran, Australia, Thailand, Indonesia dan Malaysia selaku tuan rumah menawarkan hadiah tempat pertama sebanyak AS$10,000 (RM41,245), kedua AS$5,000 (RM20,622) dan ketiga AS$3,000 (RM12,373).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata kehadiran bekas atlet antarabangsa mampu menarik kehadiran ramai pengunjung sekaligus memberi impak kepada industri pelancongan di pulau ini.

Katanya kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyokong penuh setiap acara sukan yang mampu melonjakkan nama pulau bebas cukai ini.

"Kerajaan Kedah mengharapkan pelancongan menjadi industri utama seterusnya memberikan pulangan kepada negeri. Sebab itu kita mahu fokus kepada industri pelancongan ini supaya memberi impak ekonomi besar kepada rakyat.

"Tiga acara yang saya umumkan tadi dijangka akan menarik jumlah kehadiran pelancong yang besar dari dalam dan luar negara," katanya dalam sidang media majlis pelancaran serentak tiga kejohanan antarabangsa dalam kalendar pelancongan sukan Langkawi iaitu LIBS 2019, 16th KFC Langkawi International Regatta Perdana 2019 (13-19 Feb) dan edisi keempat Tuba Trail Run (20 April).

Mengulas mengenai 16th KFC Langkawi International Regatta Perdana 2019, Mohd Asmirul berkata seramai 325 pelayar dari 20 buah negara telah mendaftar menyertai pertandingan tersebut yang akan diadakan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Kelibang.

"Antara negara yang mengesahkan penyertaan ialah Hong Kong, China, Bahrain, Kuwait, Thailand, India, Filipina, Indonesia dan Singapura," katanya.

Mengenai larian Tuba Trail pula, beliau berkata edisi keempat kejohanan tersebut melibatkan lebih seribu peserta dalam tiga kategori iaitu 30 kilometer, 15 kilometer dan empat kilometer.

-- BERNAMA