Perenang negara Welson Sim gagal mengulangi rekod kebangsaannya dalam acara saringan 400m gaya bebas lelaki di Sukan Olimpik Rio yang diadakan di Stadium Akuatik Olimpik di sini pada Sabtu.

Dalam acara saringan itu, Welson sekadar mencatat 3:51:57s, berbanding catatan rekod kebangsaannya 3:50:33s yang beliau sasarkan bagi melayakkannya membuat kemunculan di Olimpik semasa kejohanan 'National Age Group' di Singapura pada Mac.

Walaupun tidak mengharapkan dapat memasuki final, Welson berazam untuk meningkatkan catatan rekod kebangsaannya di Rio tetapi menarik nafas lega sebaik menamatkan acara itu.

"Saya tertekan dan gemuruh kerana ini acara kegemaran saya dan semua orang meletakkan harapan yang tinggi. Walaupun tidak berjaya ke saringan final tetapi saya gembira dapat menghampiri catatan peribadi terbaik saya," kata atlet berusia 19 tahun ini.

Selepas berjaya melepaskan perasaan gemuruhnya itu, Welson berkata beliau akan lebih tenang dan relaks untuk melakukan catatan lebih baik dalam acara 200m gaya bebas esok.

"Saya lebih tenang sekarang dan boleh menumpukan untuk mengatasi rekod kebangsaan saya acara 200m gaya bebas," katanya.

Welson memadamkan rekod yang dipegang Daniel Bego dengan catatan 1:49:67s dalam kejohanan sama di Singapura yang melakar catatan rekod baharu 1:47:67s.

Beliau juga akan menyertai acara 1,500m gaya bebas pada 12 Ogos. Selain Welson, perenang wanita Phee Jinq En akan memulakan acara tunggalnya, 100m kuak dada, esok.