HECTOR Pito Ramos kini sah menjadi penggempur Sang Badak musim ini selepas penyerang Puerto Rico itu menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), pagi tadi.

Pemain berusia 28 tahun itu mengikat kontrak selama setahun dengan SAFA, sekali gus melengkapkan kuota pemain import Sabah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Sabah sebelum ini sudah pun mengikat dua pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong, serta pertahanan dari Croatia, Igor Cerina.

"Saya gembira menjadi sebahagian daripada pasukan ini, saya harap akan mampu membantu pasukan seterusnya memberi kegembiraan kepada penyokong pasukan ini.

"Sudah pasti saya mahu menjaringkan gol di sini, kerana sebab itulah pasukan ini membawa saya ke sini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Penyerang yang memiliki ketinggian 191cm itu sebelum ini beraksi bersama Puerto Rico FC di Liga Bola Sepak Amerika Utara (NASL) dari tahun 2016 hingga 2017 dan berjaya membantu pasukan berkenaan untuk beraksi dalam Piala Copa Luis Villarejo.

Di peringkat antarabangsa pula, Ramos pernah mewakili skuad bawah 17, 21 dan 23 tahun Puerto Rico, seterusnya disenaraikan untuk beraksi bersama skuad utama negara berkenaan pada 2010 dengan menjaringkan 18 gol daripada lebih 30 penampilan.