LEWIS Hamilton mempersoalkan strategi Mercedes selepas hentian pit awal membebankannya dalam Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi yang menyaksikan pemburuan gelaran kelima kategori pemandu Formula Satu (F1) berlanjutan seminggu lagi.

Juara bertahan, Hamilton, berpeluang untuk merangkul kejuaraan pemandu di Austin, begitupun dia hanya mampu menamatkan saingan di tempat ketiga di depan seteru utamanya, Sebastian Vettel.

Sehubungan itu dia kini perlu menunggu sehingga perlumbaan di Mexico minggu depan bagi mengesahkan kemenangannya.

Vettel terbabas pada awal perlumbaan tetapi harapan Hamilton untuk merakam kemenangan diragut oleh keputusan pasukannya supaya masuk awal ke dalam hentian pit, ini bermakna dia perlu masuk sekali lagi pada penghujung saingan.

Kimi Raikkonen menikmati peluang keemasan itu apabila mencipta kemenangan pertamanya sejak 2013, sehubungan itu Hamilton tidak berasa senang dengan langkah tersebut.

"Laluan keluar dari hentian pit sangat sempit," kata Hamilton. "Namun, ketika saya melakukan hentian pit, ia memakan masa 12 saat -- ia terlalu jauh untuk dihambat.

"Saya tidak pasti bagaimana strategi ini berakhir seperti itu.

"Ia sentiasa sukar atas faktor jangka hayat tayar anda untuk membuat perubahan. Setelah anda melepaskan 12 saat, maka tiada ruang lagi untuk mengejar kedudukan.

"Saya masih sangat gembira kerana kami meraih kedudukan tiga terbaik, Ferrari menjuarai perlumbaan hujung minggu ini."

Begitupun, Hamilton mengakui dia menjangkakan keputusan yang lebih baik di Texas.

"Tahniah kepada Kimi, dia melaksanakan tugas yang hebat. Tiada kesilapan, dia mempunyai permulaan yang baik dan berjaya sepanjang masa," katanya.

"Max Verstappen (di tempat kedua) juga beraksi hebat, Pemilihan tayarnya sedikit lebih baik daripada kami pada akhirnya, jadi tidak hairanlah kami agak bergelut.

"Saya fikir kami akan bekerja dengan lebih baik lagi tetapi ini adalah yang terbaik yang kami dapat hasilkan.

"Sekurang-kurangnya baguslah kami meraih kedudukan yang baik tetapi kami perlu terus bekerja keras, terus berusaha untuk perlumbaan seterusnya."