Pemain tenpin boling negara, Rafiq Ismail akan mendapat bantuan jurulatih yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi jelajah Pemain Boling Profesional (PBA) di negara Uncle Sam itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sambil menyifatkan laporan bahawa Rafiq akan ke AS tanpa pengurus pasukan dan jurulatihnya di sana telah disalah tafsir.

Menurut kenyataan MTBC itu lagi, Rafiq mengakui membuat kenyataan bahawa dia akan ke AS secara sola namun terlupa menyatakan bahawa dia akan mendapatkan bantuan daripada jurulatih yang berpangkalan di AS.

Ini kerana Rafiq terlalu teruja sehingga terlupa membuat kenyataan tersebut selepas menerima Anugerah Jagoan Nadi Arena 2018 (AJNA) yang disampaikan di ibu pejabat Astro Arena pada Sabtu.

Tambah Rafiq kenyataan tersebut telah disalah tafsir kerana ia merupakan perancangan yang dibuat bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN) yang turut bersetuju bersaing di AS untuk jelajah PBA adalah latihan dan pendedahan yang terbaik untuknya.

Justeru, MTBC menegaskan tiada potongan bajet dilakukan dan ia merupakan perancangan yang telah dipersetujui oleh semua pihak.

Malah ia menjadi kebiasaan bagi pemain boling ke jelajah profesional secara solo seperti yang dilakukan Zulmazran Zulkifli, Shalin Zulkifli dan Easter Cheah.

BACA: Rafiq akan ke AS secara solo