Prinsipal Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Datuk Razlan Razali mengesahkan dua tonggak utama pasukan berkenaan, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli sah akan terus bersama pasukan berkenaan dalam kategori MotoGP Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia musim hadapan.

Beliau memaklumkan dua pelumba berkenaan sudah menyatakan persetujuan untuk terus bersama Petronas Yamaha SRT pada musim hadapan, susulan prestasi membanggakan yang dicapai bersama pasukan berkenaan pada musim ini.

Razlan masa sama, turut optimis dua pelumba berkenaan dapat meraih kedudukan podium pada saingan Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 1-3 Nov ini.

Beliau menegaskan sasaran utama pasukan berkenaan adalah mengekalkan kedudukan pendahulu kategori pengeluar bebas dan kategori pelumba bebas yang sedang dikuasai Quartararo, katanya pada sidang media mengenai taklimat aliran trafik dan penggunaan pengangkutan awam, sempena GP Malaysia di SIC, di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan berasingan, beliau mendedahkan Adam Norrodin yang menggantikan Khairul Idham Pawi (KIP) dalam saingan Moto2 pada musim ini, akan kembali bersaing dalam Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) pada musim hadapan bersama seorang lagi pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayudin.

Khairul Idham terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan di tangan kanannya di Sepanyol, Ogos lalu, susulan kecederaan yang dialaminya pada GP Sepanyol pada Mei lalu.

"KIP akan turun ke kategori Moto3 pada musim hadapan, dan beliau akan menjalani sesi latihan pra-musim 2020 di Litar Jerez, Sepanyol, selepas berakhirnya pusingan terakhir MotoGP 2019 di Valencia pada pertengahan bulan hadapan," jelas Razlan.

Beliau turut mendedahkan SIC sedang mengasah beberapa bakat berpotensi bagi diketengahkan ke dalam saingan MotoGP selewat-lewatnya pada 2021.

-- BERNAMA