Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa menyertai Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort

Perdana Menteri yang diiringi Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan tee-off pada 8 pagi, sekali gus memulakan pertandingan yang turut disertai 129 peserta terdiri daripada barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan pimpinan seluruh negara.

Antara yang menyertai pertandingan pada sesi pagi, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur pertandingan Datuk Seri Azri Mohammad Zain ketika ditemui berkata seramai 306 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Azri berkata penganjuran tahun ini adalah kali kelima sejak ia diperkenalkan pada 2013, dan pertama kali diadakan di The Mines Resort.

Katanya, penganjuran program berkenaan kali ini dilaksanakan dua hari berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

"Tujuan kami mengadakan pertandingan ini adalah untuk mengeratkan silaturahim antara sahabat di seluruh negara.

"Datuk Seri Ahmad Zahid melahirkan rasa gembira dan berpuas hati kerana Perdana Menteri sudi menyertai kejohanan kali ini," katanya.

Menurut Azri, kejohanan kali ini menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta Proton Perdana 2.0 untuk juara, Perodua Bezza (naib juara), Motosikal SYM (tempat ketiga) dan Motosikal Modenas (tempat keempat).

"Kami menawarkan hadiah hingga tempat ke-60 manakala bagi mereka yang berada di kedudukan ke-61 ke atas akan ada cabutan bertuah pada majlis makan malam nanti. Yang pasti, semua orang akan pulang dengan hadiah," katanya.

-- BERNAMA