Juara bertahan, Denmark bakal menjadi halangan utama skuad negara dalam saingan peringkat kumpulan pada Pusingan Akhir Piala Thomas 2018, Mei depan.

Pada majlis undian Piala Thomas dan Uber 2018 di Hotel Arnoma Grand di Bangkok, malam ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Denmark, Rusia dan Algeria.

Undian kali ini, bagaimanapun dilihat memberi kelegaan kepada pasukan Malaysia kerana dapat mengelak berdepan pasukan terbaik Asia dalam saingan pusingan awal.

Pusingan Akhir Piala Thomas dan Uber dijadual berlangsung di Bangkok dari 20 hingga 27 Mei ini.

Saingan di peringkat kumpulan itu adalah peluang kepada skuad Malaysia untuk menebus kekecewaan apabila tumpas di tangan Denmark di separuh akhir pada edisi 2016 di Kunshan, China.

Pilihan utama yang juga juara sembilan kali, China mengetuai Kumpulan A terdiri daripada pasukan India, Perancis dan Australia, manakala Kumpulan B menampilkan juara 13 kali Indonesia, Korea Selatan, Kanada dan tuan rumah Thailand.

Kumpulan C pula membariskan pasukan Taiwan, Jepun, Jerman dan Hong Kong.

Dalam kempen Piala Uber, Malaysia bagaimanapun tidak bernasib baik apabila diundi bersama-sama juara bertahan China, Indonesia dan Perancis dalam Kumpulan D.

Jepun mengetuai Kumpulan A terdiri dari India, Kanada dan Australia, manakala Thailand diletakkan dalam Kumpulan B dengan Taiwan, Jerman dan Hong Kong.

Kumpulan C pula membariskan pasukan Korea Selatan, Denmark, Rusia dan Mauritius.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan, masing-masing dalam saingan Piala Thomas dan Uber, akan mara ke suku akhir.

-- BERNAMA