PIALA Dunia Wanita FIFA mendapat perhatian luar biasa kali ini di Perancis.

Jumlah penonton bagi setiap negara meningkat hampir dua kali ganda berbanding edisi sebelum ini pada 2015 di Kanada.

Menurut BBC, 22.2 juta penonton televisyen di United Kingdom menonton Piala Dunia Wanita tahun ini sehingga 28 Jun, berbanding 12.4 juta yang dicatat pada keseluruhan edisi Kanada 2015.

Jumlah penonton bagi perlawanan melibatkan pasukan England sahaja meningkat daripada 6.1 juta pada 9 Jun ketika skuad the Lioness menentang Scotland, kepada 7.6 juta pada 27 Jun pada suku akhir menentang Norway.

Jumlah tersebut dijangka meningkat bagi perlawanan separuh akhir England menentang juara bertahan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, jam 3 pagi waktu Malaysia.

Pada final edisi 2015, 25.4 juta orang menonton final Piala Dunia Wanita 2015 di mana AS menewaskan Jepun 5-2, yang menyaksikan peningkatan 41 peratus berbanding final 1999 semasa AS menewaskan China.

Pada edisi 2015, 750 juta penonton dicatatkan dan FIFA menjangkakan jumlah penonton akan meningkat kepada 1 bilion bagi Perancis 2019.

Jangkaan tersebut berdasarkan minat yang semakin meningkat dalam bola sepak wanita sehingga ada pemain yang menuntut jumlah bayaran yang sama dengan kaum lelaki.



Berdasarkan laporan Washington Post, terdapat sebuah kes mahkamah berprofil tinggi di Amerika Syarikat yang menuntut bayaran yang sama untuk bola sepak wanita.

Selain itu, isu-isu lain seperti jurulatih Sepanyol yang kasar dan seksis selain protes pemain Australia akibat bayaran yang rendah turut menyumbang kepada pendedahan bola sepak wanita.

Penyumbang utama kepada peningkatan minat terhadap bola sepak wanita sudah pasti para penyiar yang memberikan slot perdana kepada perlawanan-perlawanan bola sepak melibatkan kaum hawa.



Perlawanan melibatkan pasukan bola sepak wanita Brazil pula tidak lagi boleh ditonton secara percuma seperti dahulu, apabila hak penyiaran dipegang oleh Rede Globo, syarikat penyiaran paling popular di negara itu.

Dengan jumlah peningkatan penonton dan juga jualan pengiklanan di televisyen melibatkan Piala Dunia Wanita, tidak mustahil wanita yang bermain bola sepak akan menerima bayaran yang sama dengan kaum lelaki suatu hari nanti.