JAMIE Joseph memuji sikap tidak putus asa yang dipamerkan Jepun selepas dua try pada minit-minit akhir mengesahkan kemenangan ke atas Samoa sekali gus meletakkan mereka di landasan terbaik untuk mencipta sejarah.

Skuad tuan rumah itu kembali ke tangga teratas Kumpulan A menerusi kemenangan 38-19, semalam sambil gerakan lintang Kenki Fukuoka pada minit ke-76 dan usaha Kotaro Matshushima mengesahkan kemenangan.

Jaringan daripada Matsushima itu meletakkan Jepun di kedudukan keempat keseluruhan dan memiliki 14 mata di tangga teratas sekali gus membolehkan mereka mengungguli kumpulan buat pertama kali di pentas Piala Dunia sekiranya menewaskan Scotland, minggu depan.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan terutamanya di akhir permainan," katanya.

"Mereka tidak pernah berputus asa dan kami tahu ia bakal menjadi pertembungan fizikal. Samoa tdak mengecewakan kami. Mereka menyinar walaupun baru beraksi empat hari lalu.

"Namun, akhirnya kepercayaan dalam pasukan kami meningkat. Saya rasa kami akan perlukannya menuju minggu depan.

"Persiapan kami bagus. Kami mempunyai tempoh lebih panjang, jadi banyak perbincangan dan persiapan. Ia minggu yang berbeza berbanding ketika berdepan Ireland."

Scotland akan berdepan Russia dalam aksi penting sebelum menentang The Brave Blossoms di Yokohama, di mana Jepun akan mengesahkan kemaraan ke suku akhir sekiranya skuad kendalian Gregor Townsend itu tewas.

"Saya fikir fokus kami adalah menuju perlawanan dan menang. Segalanya akan berjalan lancar," tambah Joseph.

"Buat pertama kali, Jepun meletakkan diri mereka di kedudukan cerah untuk mengungguli kumpulan. Ini satu perkara baru.

"Kami melalui perlawanan demi perlawanan. Kami akan menikmati kemenangan ini, kemudian kembali ke persiapan getir menentang Scotland."

Pemain sayap Jepun, Pieter Labuschagne, berterima kasih kepada penyokong di Stadium City of Toyota selepas sokongan mereka buat tuan rumah itu membolehkan mereka berjuang sehingga minit akhir.

"Sukar untuk menghadapi perlawanan ini dan kami memerlukan masa yang panjang. Lawan benar-benar pasukan yang bagus dan ia dibuktikan dalam babak pertama. Kami bernasib baik dapat meraih try pada minit akhir untuk menang," katanya.

"Terdapat banyak ketua dalam pasukan ini, jadi ia lebih mudah. Ia memerlukan masa bagi mendapatkan aksi terbaik.

"Peminat sangat hebat terutamanya dalam 10 minit terakhir. Mereka menyokong kami dan ia sangat indah."