BEKAS juara welterweight Bellator MMA dan ONE Championship, Ben Askren dilaporkan bakal bertarung dengan Demian Maia.

Pertarungan itu dikatakan sedang dirancang sebagai pertarungan 'main event' bagi acara UFC Singapura yang bakal berlangsung pada 26 Oktober ini.

Namun timbul pula cakap-cakap dari komuniti MMA sendiri yang mengatakan pertarungan itu akan menjadi satu pertarungan yang membosankan.

Ia datang kerana latar belakang Askren adalah dari sukan gusti manakala Maia pula berlatar belakangkan sukan Brazilian Jiu Jitsu. Kedua-dua sukan ini sememangnya banyak mempamerkan aksi 'ground game'.

Bercakap didalam program Ariel Helwani's MMA Show, Askren berpendapat masih terdapat peminat MMA yang minat untuk melihat semua teknik dalam MMA ('stand up' dan 'ground game').

"Saya fikir terdapat sebahagian daripada peminat yang suka pada semua elemen yang ada pada sukan MMA, ia tidak terhad pada pertarungan ketika berdiri," kata Askren.

"Ia adalah satu mitos bahawa semua orang mahu menonton (pertarungan ketika berdiri). Walaupun begitu, saya memang pertarung 'ground game' dan seorang ahli gusti yang membosankan," tambahnya.

Askren yang memegang rekod MMA 19-1, telah tewas buat pertama kalinya dalam karier sebagai profesional MMA pada Julai lepas.

Dia tewas kepada Jorge Masvidal dalam masa lima saat sahaja menerusi tendangan 'lutut terbang' yang tepat mengena ke kepalanya.