Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik memulakan kempen mereka dengan bergaya pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis 2018 apabila mara ke pusingan kedua kejohanan itu di Paris, Perancis pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Gandingan muda itu bagaimanapun, perlu berusaha keras sebelum berjaya mengetepikan adik-beradik Chew - Philip dan Ryan, menang 27-25 dan 21-12 dalam perlawanan pusingan pembukaan di Stade Pierre de Coubertin, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula terlepas ganjaran kejohanan sebanyak US$750,000 (RM3.123 juta) selepas kalah 21-16, 17-21 dan 16-21 kepada Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama.

Pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut menerima nasib yang sama setelah ditewaskan pemain pilihan kedua Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dari Jepun dengan 15-21 dan 14-21.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren juga gagal mara ke pusingan seterusnya selepas tewas 19-21 dan 17-21 kepada Rajiv Ouseph dari England pada pertemuan pusingan pertama.

-- BERNAMA