PENGURUS Tottenham, Mauricio Pochettino, membidas media yang mempersoalkan prestasi Kieran Trippier dan Toby Alderweireld sambil menegaskan pemain-pemainnya bukan "sampah".

Spurs mengalami kekalahan ketiga berturut-turut awal pagi tadi, tewas 2-1 kepada Inter Milan dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Liga Juara-Juara (UCL).

Trippier dan Alderweireld terlepas aksi berdepan Inter, dengan Pochettino menjelaskan "keputusan teknikal" untuk tidak menurunkan mereka ketika tewas dengan dua jaringan pada penghujung permainan daripada Mauro Icardi dan Matias Vecino, menafikan jaringan tunggal Spurs yang dihasilkan oleh Christian Eriksen.

Bagaimanapun, Pochettino tidak berpuas hati dengan persoalan media mengenai Trippier dan Alderweireld dan beliau mempertahankan skuadnya.

"Mengapa tidak hormat pemain-pemain yang tidak diturunkan?" katanya.

"Anda boleh menyalahkan saya dengan berkata, 'Pochettino, anda tidak bagus dalam memilih kesebelasan utama.'

"Tetapi saya pohon, jangan melepaskan kesalahan kepada pemain-pemain yang tidak beraksi, kerana ia adalah keputusan saya.

"Kami memiliki 25 pemain dan soalan yang anda berikan persoalan ini seolah-olah saya hanya menurunkan 11 dan 13 atau 14 pemain yang sampah.

"Saya meminta maaf tetapi saya kecewa kerana saya seorang yang menghormati anda dan pemain-pemain. Apabila saya mengambil keputusan untuk beraksi dengan 11 pemain, anda perlu menghormati keputusan ini kerana saya adalah pengurus pasukan."