BINTANG seni bela diri campuran (MMA) UFC Conor McGregor ditahan polis hari ini kerana didakwa memecahkan telefon bimbit seorang peminat yang cuba mengambil gambarnya.

Jaguh MMA dari Ireland itu didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata serta kesalahan berunsurkan jenayah.

Menurut Polis Miami, kejadian itu berlaku di hadapan hotel Fontainebleau Miami Beach, Florida pada jam 5 pagi waktu tempatan.

Berdasarkan laporan polis, McGregor dikatakan telah menepis telefon daripada mangsa sebelum memijak telefon tersebut dan mengambilnya.

"Mangsa cuba mengambil gambar suspek dengan telefon bimbitnya. Suspek menepis telefon bimbit dari tangannya, menyebabkan ia jatuh ke lantai," kata laporan polis itu seperti dipetik BBC.

“Suspek kemudian memijak telefon mangsa beberapa kali, menyebabkan ia rosak. Suspek kemudian mengambil telefon itu dan membawanya pergi. Suspek dikesan dan ditangkap.”

Tambah polis, telefon milik mangsa itu bernilai AS$1,000 (RM4,080).

Tahun lalu, McGregor, 30 tahun telah diarah untuk menjalani program pengurusan kemarahan dan lima hari khidmat masyarakat bagi menarik balik pertuduhan menyerang bas yang dinaiki beberapa petinju UFC pada April.

McGregor merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan juara lightweight dunia, Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016.

Kali terakhir dia bertarung ialah dengan jaguh Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

BACA: Kekecohan di UFC 229: Khabib didenda RM2 juta, McGregor RM200,000

Bagaimanapun, susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan tersebut, Khabib dan McGregor telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor pula didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.