Pasukan ragbi Malaysia yang akan menjalani latihan intensif di New Zealand, pasti akan membuatkan pasukan Hong Kong dan Korea Selatan 'goyang' dengan skuad kebangsaan.

Hal ini demikian, latihan selama dua minggu itu pasti memberi impak yang positif lebih-lebih lagi mendapat bimbingan jurulatih berpengalaman iaitu legenda All Blacks, Rodney So'oialo yang mempunyai 62 caps bersama pasukan itu dan juga Tom Coventry, dari pasukan ragbi North Harbour.

“Kami memilih New Zealand sebagai kem latihan disebabkan tempatnya yang kondusif. Kami turut menjalani tiga perlawanan persahabatan antara tiga kelab profesional iaitu North Harbour, Norchcote, dan Papatoetoe.

“Perlawanan ini akan memberi pengalaman kepada pasukan kita untuk berdepan pasukan yang lebih kuat bagi memantapkan psikologi, mental, dan fizikal para pemain,” kata Jurulatih Pasukan Ragbi Malaysia, Lee Nyuk Fah, ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut beliau, walaupun sedar pasukan Hong Kong dan Korea Selatan yang mempunyai ranking yang lebih tinggi, pemain Skuad Bunga Raya kekal positif bagi menumpaskan kedua-dua gergasi Asia itu.

“Kami tahu pasukan Hong Kong dan Korea Selatan mempunyai kelebihan fizikal. Melalui kajian, mereka banyak bermain menggunakan bahagian forward. Oleh itu, latihan di New Zealand mampu memantapkan kepantasan bagi melakukan serangan balas ketika berdepan mereka,” ujar beliau.

Latihan di New Zealand itu akan disertai 31 pemain termasuklah Marc Le, pemain yang beraksi di liga ragbi profesional Jepun.

“Menang atau kalah dalam perlawanan persahabatan itu tidak penting. Perkara yang lebih utama, semua pemain menggunakan sebaiknya pengalaman di New Zealand dan memperbaiki segala kelemahan.”

“Kekuatan kita ialah, sikap pemain sangat positif walaupun akan berdepan pasukan yang lebih baik. Selain itu, aura Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai tuan rumah, mampu meniupkan semangat para pemain dengan kehadiran penonton yang ramai,” tambah beliau lagi.

Bermula 13 Mac, skuad ragbi Malaysia akan menjalani kem latihan di New Zealand sebagai persiapan sebelum bermulanya ARC 2018 pada 28 April depan.