Penyumbang pingat emas ketiga negara pada Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Abdul Latif Romly baru berusia 19 tahun tetapi membuktikan dirinya seorang anak yang bertanggungjawab.

Apabila ditanya perancangannya untuk imbuhan sebanyak RM1 juta daripada kerajaan untuk emas itu, pemegang rekod dunia acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) itu berkata mahu membina rumah dan menghantar ibu bapanya menunaikan umrah.

"RM1 juta itu, saya nak simpan, bina rumah dekat kampung (Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri, Arau) dan hantar emak ayah pergi umrah," katanya dalam video temu bual oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp.

Anak jati Perlis itu meraih emas selepas mencatat jarak 7.60 meter pada lompatan kelima, sekaligus mencipta rekod baharu dunia di Stadium Olimpik, Rio de Janeiro, malam tadi.

Rekod dunia terdahulu iaitu 7.35m adalah miliknya sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lepas manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro daripada Sepanyol yang dilakukan pada edisi 2012 di London.

"Saya sangat berpuas hati kerana dapat pecahkan rekod dunia, saya memang pernah sasarkan catatan itu. Saya ingin hadiahkan emas ini kepada keluarga, para jurulatih saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan ini," tambahnya.

BACA: Tiga rekod dunia, #terbangLatifterbang trending di laman sosial

BACA: Paralimpik Rio: Pecah rekod dunia, Latif Romly hadiahkan emas ketiga negara


Pingat perak acara itu diraih Zoran Talic daripada Croatia dengan 7.12m dan gangsa menjadi milik Dmytro Prudnikov daripada Ukraine dengan 6.99m.

Mengikut Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang diperkenalkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada 2013, atlet Paralimpik akan menerima insentif yang sama seperti atlet normal Olimpik, iaitu RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000 bagi pingat emas, perak pula RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.

Sementara itu, jurulatih lompat jauh paralimpik negara, Syahrul Amri Mohd Suhaimi yang terkejut dengan lompatan pecah rekod itu, berharap Abdul Latif dapat mengekalkan momentumnya untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Sebenarnya saya target 7.50m untuk beliau pada hari ini (semalam) tetapi dengan semangat yang beliau tunjukkan, dia dapat melakukan yang terbaik.

Walaupun saya terkejut tetapi sangat gembira dengan pencapaian itu," katanya.

Malaysia memperoleh emas pertama menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara pecut 100m T36 lelaki (cerebral palsy) yang menamatkan larian dalam 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk daripada Ukraine iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008.

Kemudian, pemenang pingat gangsa Paralimpik London 2012, Muhammad Ziyad Zolkefli mencipta rekod baharu dunia dengan jarak 16.84m untuk menggandakan pungutan emas melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran).

Untuk rekod penyertaan Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik, atlet di bawah program itu berjaya meraih satu pingat gangsa melalui Siow Lee Chan dalam acara power-lifting di Beijing, China pada 2008.

Empat tahun berikutnya di London, atlet elit paralimpik berjaya meraih satu perak melalui Hasihin Sanawi dalam acara recurve W1/W2 lelaki, serta satu gangsa melalui Muhammad Ziyad dalam acara lontar peluru F20.