Atlet Malaysia yang memenangi pingat emas pada temasya Paralimpik Rio 2016 bakal menerima ganjaran sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) model sumbangan Naza Corporation Holdings.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin pada Ahad,

"Saya amat berbangga dengan atlet paralimpik Malaysia yang bakal membawa pulang pingat emas ke tanah air.

"Sebagai sebuah syarikat tempatan, Naza akan memberi ganjaran kepada atlet Malaysia yang memenangi emas di Paralimpik Rio 2016 dengan sebuah Kia Sportage setiap seorang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Paralimpik Rio 2016: Terima kasih Ridzuan dan Ziyad, kami bangga dengan kejayaanmu!

SM Nasarudin yang juga menerajui tahun pertamanya sebagai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia menyifatkan kejayaan tersebut bukan hanya memberi inspirasi kepada atlet negara, malah kepada rakyat Malaysia.

"Atlet paralimpik negara telah menunjukkan keberanian dengan mengenepikan kelemahan mereka. Ini yang dimaksudkan Malaysia Boleh!," katanya.

Malaysia melakar sejarah dengan memenangi dua pingat emas pada Paralimpik ldan lebih istimewa lagi satu daripada kemenangan itu mencipta rekod baharu dunia.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi mencipta sejarah negara apabila berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia dalam acara 100m T36 (celebral palsy) di Paralimpik Rio, Brazil pada Sabtu.

Pingat emas kedua negara diraih Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).