HATI anak Malaysia mana yang tak suka, Harimau Malaya selangkah lagi hendak capai piala.

Maka berbondong-bondonglah rakyat dari setiap pelusuk negara yang hatinya membara di belakang skuad bola sepak kebangsaan bertungkus lumus untuk mendapatkan tiket masuk menonton aksi final bertemu Vietnam di arena gah Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sehingga tegang urat dibuatnya, ribuan yang bergolok gadai dari percubaan membeli secara atas talian hingga ke bermalam di hadapan kaunter jualan tiket di stadium berakhir dengan kegagalan. Habis tenaga, habis masa, cuma sia-sia. Sekelip mata sahaja, kesemua 80,000 tiket habis terjual.

Kepada anda yang tergolong dalam kelompok malang itu, jangan bersedih. Menonton di rumah pun seronok juga, boleh baring atau makan dengan selesa sambil menonton bersama seisi keluarga. Tapi sejujurnya memang tak sama menonton di stadium.

Kalau rajin, datanglah ke Axiata Arena. Hanya bersebelahan venue perlawanan, stadium tertutup ini dibuka untuk tayangan langsung namun terhad untuk 15,000 tempat duduk sahaja. Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia. Secara percuma, anda masih dapat bersama dan merasai gegak gempita di stadium sebelah.

Seluruh perkarangan Bandar Sukan Bukit Jalil menjadi satu pesta keramaian sepanjang hari sehingga waktu sepak mula pada jam 8.30 malam dengan deretan gerai jualan makanan, minuman dan cenderahati serta jersi, pelbagai aktiviti dan bermacam lagi. Bagaimanapun, kemuncak pengalamannya sudah semesti menonton di dalam stadium.

Stadium Nasional Bukit Jalil yang gah menjadi rumah Harimau Malaya (walaupun kadang-kadang aksi antarabangsa dilangsungkan di Stadium Shah Alam) mempunyai lebih 87,000 tempat duduk dan ada masa mampu memuatkan sehingga 100,000 penonton. Adrenalin yang sememangnya memuncak untuk berada dalam kalangan ribuan penonton yang berkobar-kobar.

Kepada anda yang tergolong dalam kelompok bertuah yang berjaya mendapatkan tiket (walau dengan cara apa sekalipun), berikut adalah beberapa panduan menonton di stadium sebagai peringatan bahawa kita bangsa bertamadun:

1. Jangan bertolak-tolak. Kawasan stadium yang bertingkat-tingkat adalah berisiko tinggi untuk berlakunya kejadian yang tidak diingini sekiranya kita cuai, lebih-lebih lagi ketika manusia sedang bersesak.

2. Duduk ikut di tempat yang ditetapkan pada tiket anda. Macam menonton di panggung wayang, kita seeloknya jangan duduk di tempat yang bukan kita punya. Kalau anda berebut tempat duduk kerana nombor tempat yang ditulis pada tiket anda itu adalah sama, mungkin salah seorang (atau lebih) daripada anda sudah ‘dikencing’ ulat tiket. Jaga-jaga.

Bagaimanapun 'numbered seating' ini hanya diamalkan di negara-negara yang lebih maju seperti di Eropah. Di negara kita, sistem tiketnya adalah secara 'free seating'. Mungkin sebab ini tiket palsu mudah dicetak atau tiket original 'terlebih cetak', akhirnya menyebabkan kemasukan penonton melebihi kapasiti. Ini bahaya.

3. Jangan merokok. Anda nyalakan rokok, bererti anda menyalakan juga api kemarahan orang keliling lebih-lebih lagi yang bukan perokok. Bertimbang rasalah, tahan seketika desakan untuk merokok itu. Sebab itu Tuhan suruh puasa, latih kawal diri bukan setakat makan minum sahaja.

4. Kawal emosi. Jangan baling objek sewenang-wenangnya. Anda boleh mencederakan orang lain, lebih buruk lagi mangsa langsung tidak tahu siapa yang mencederakannya.

5. Urus sampah anda dengan sebaiknya dan penuh bertanggungjawab. Ini kan rumah kita. Kalau boleh kita mahu 'tamatkan' profesion pengutip sampah memandangkan boleh kata semua yang membuat kerja itu adalah orang asing. Lambakan warga asing pula nanti dijadikan alasan mengapa ramai rakyat Malaysia menganggur. Takkan kutip sampah sendiri pun mahu dibayar?

6. Patuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan. Jangan bawa barang-barang seperti mercun, objek-objek berbahaya, batang kayu atau sebagainya. Kita datang nak menonton dan bersorak, bukan nak bergaduh.

Demikian enam panduan asas mudah untuk diikuti. Kalau anda dapat mematuhi kesemuanya, tahniah dan berbanggalah bahawa anda berjaya menampilkan sifat sepatutnya rakyat sebuah negara hebat yang bernama Malaysia. Teruskan amalan murni itu dan bawanya ke mana sahaja anda pergi.

Kita bersorak menyokong pasukan negara, memakai bendera di dada. Tetapi ramai yang kurang sedar, pada masa sama sebenarnya kita menggalas maruah negara bersama. Sikap dan tabiat kita adalah wajah dan rupa Malaysia.

Ini zaman #MalaysiaBaharu, Malaysia yang mahu berubah. Namun ingatlah, tidak ada apa yang akan berubah jika segalanya tidak bermula dari diri kita sendiri.