ATLET lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mahu menyimpan tenaga sempena Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Doha, Qatar bulan depan selepas enggan meneruskan percubaan kali ketiga pada ketinggian 2.30 meter dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Ahad.

Hup Wei menamatkan saingan di tempat pertama dengan lompatan 2.27m untuk mengetepikan atlet dari Taiwan, Chun Hsien Hsiang dan Ping Yan Huang, di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 2.21 dan 2.12 meter.

Nyata, catatan yang dilakukan Hup Wei dalam saingan itu menghampiri catatan terbaiknya, 2.28m, yang juga hampir memecahkan rekod kebangsaan milik Nauraj Singh, 2.30m, namun dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan lompatan.

Hup Wei optimis mampu memecahkan rekod kebangsaan di Qatar bulan depan tetapi perlu menggandakan usaha ketika dalam latihan tatkala dia mempunyai beberapa minggu lagi menjelang kejohanan tersebut.

"Peringkat saringan hari ini memang bagus memandangkan ada peserta lain yang mempunyai rekod peribadi mencapai 2.29m.

"Lantas, saya memasang niat untuk setidak-tidaknya melakukan catatan 2.21m," katanya.