PENGURUS Arsenal, Unai Emery, berkata sasaran utamanya adalah untuk mencipta suasana yang hebat dan tidak risau untuk memastikan slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Arsenal memintas Tottenham Hotspur untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Newcastle United 2-0 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Ia merupakan kemenangan kesepuluh berturut-turut mereka dalam aksi liga di laman sendiri, rekod yang turut melibatkan kemenangan ke atas seteru utama seperti Manchester United, Spurs dan Chelsea dan meletakkan mereka di kedudukan terbaik untuk merebut empat tangga teratas musim ini.

Emery mengakui ia adalah tugasan sukar untuk mereka memastikan tempat ke kejohanan kelab elit Eropah itu, namun dia lebih memikirkan untuk menghasilkan suasana positif di Stadium Emirates dan kekal fokus terhadap kedudukan mereka dalam saingan liga.

"Cabaran besar kami adalah untuk mengekalkan rentak kemenangan dan ia bukan mudah untuk memperoleh kemenangan secara berturut-turut," katanya dalam sidang media.

"Kami telah membuktikan yang kami boleh meraih kemenangan dengan pemain dan formasi berbeza.

"Pemain yang diturunkan memberikan kesan yang baik.

"Kami mahu membina semangat berpasukan yang hebat.

"Sasaran itu amat sukar dan kami semakin menghampirinya dari hari ke hari.

"Kami agak malas ketika dua perlawanan pertama musim ini, namun kami kini berada di tangga ketiga liga dan masih terdapat perlawanan yang sukar untuk dihadapi.

"Cabaran seterusnya adalah bertandang ke Everton.

"Ia cabaran yang berat dan kami perlu membuktikan yang kami juga boleh beraksi konsisten di laman lawan.

"Kami menghadapi perlawanan sukar ketika berdepan Manchester United, Tottenham dan Chelsea.

"Kami memperoleh peluang itu dan memanfaatkannya kerana kami konsisten untuk memenangi perlawanan dan mengejar mereka.

"Kini, saya tahu kesukaran untuk kekal dalam kelompok empat teratas.

"Saya tidak mahu memikirkannya. Sasaran saya adalah untuk mencipta suasana yang hebat.

"Kami sedang menciptanya sedikit demi sedikit," katanya.

Aaron Ramsey, yang dipilih sebagai kapten dalam perlawanan itu, menjaringkan gol pertama Arsenal dan memaparkan kecemerlangannya sebelum terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua.

Emery mendakwa pemain tengah itu mengalami ketegangan otot dan berharap Ramsey akan terus berasa gembira untuk meneruskan aksi baiknya sepanjang ini sebelum melengkapkan perpindahan ke Juventus musim depan.

"Ia amat jelas, kita tidak perlu lagi bercakap tentang itu.

"Apa yang penting adalah dia gembira, berusaha untuk membantu kami dan beraksi baik dalam setiap perlawanan.

"Saya amat gembira untuk dirinya. Saya mahu meneruskan dengan semangat secara individu dan kolektif yang sama dengan setiap pemain.

"Saya hanya boleh mengharapkan dia meneruskan aksi seperti itu.

"Saya berharap dia akan cergas Ahad ini (berdepan Everton)," katanya.

Pengendali Newcastle, Rafael Benitez, berasakan pasukannya tidak bernasib baik untuk dikecewakan dengan gol lewat permainan Alexandre Lacazette, yang terhasil daripada lorongan pemain gantian, Pierre-Emerick Aubameyang.

Dia mengakui pergelutan Newcastle untuk kekal dalam Liga Perdana musim depan akan berlarutan sehingga perlawanan terakhir berdepan Fulham walaupun mereka kini berkelebihan lapan mata di depan pasukan di tangga ke-18, Cardiff City.

"Saya berbangga dengan pemain saya kerana mereka telah berusaha keras.

"Kami sudah terlalu hampir untuk mencipta sesuatu, namun mereka mempunyai lebih ancaman, kelajuan dan keupayaan, termasuk pemain seperti Aubameyang di bangku simpanan.

"Saya lebih gemar untuk kami berada di kedudukan seperti ini dan meraih tiga mata dalam perlawanan seterusnya.

"Setiap perlawanan adalah perlawanan akhir dan kami perlu menumpukan perhatian dan menantikan apa yang akan berlaku kepada pasukan lain.

"Mungkin perlawanan terakhir dengan Fulham akan menentukan segala-galanya," katanya.