Bintang tenis Serbia Novak Djokovic muncul juara perseorangan lelaki kejohanan tenis Terbuka Australia 2020 selepas berjaya membenamkan jaguh Austria Dominic Thiem dalam perlawanan akhir sebentar tadi.

Pertembungan sengit yang berlangsung di Rod Laver Arena, Melbourne itu menyaksikan Djokovic menang
6-4 4-6 2-6 6-3 dan 6-4 ke atas Thiem.

Dengan kemenangan tersebut, Djokovic berjaya catat kemenangan kelapannya di arena itu seterusnya berjaya merangkul trofi Grand Slam yang ke-17 miliknya menghampiri rekod Rafael Nadal dengan 19 trofi dan pendahulu Roger Federer dengan 20 trofi.

Beraksi dalam perlawanan yang memakan masa hampir empat jam itu, Thiem yang dilihat begitu konsisten pada pusingan kedua dan ketiga dijangka akan mampu meleburkan penguasaan Djokovic dalam aksi kali ini.

Bagaimanapun Djokovic yang lebih berpengalaman dan sudah mencatatkan tujuh kemenangan sebelum ini di gelanggang sama tidak tunduk kepada dominasi tersebut dan terus bangkit untuk menguasai set keempat dan melakar kemenangan menerusi set kelima (penentuan).

Mengenakan baju berwarna hijau dengan tulisan KB sempena dedikasinya kepada mendiang Kobe Bryant, Djokovic dilihat sebagai lagenda sukan berkenaan apabila berjaya untuk terus menguasai kedudukannya sebagai atlet paling banyak mencatatkan kemenangan di Terbuka Australia dengan lapan kemenangan setakat ini.

Permulaan cemerlang untuk tahun ini memungkinkan penguasaanya bagi terus mendominasi ranking tertinggi sukan ini dan meninggalkan pesaing terdekatnya Rafael Nadal dan Roger Federer.