Juara dunia tujuh kali Datuk Nicol Ann David mara ke pertandingan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat untuk mempertahankan kejuaraannya pada kejohanan itu.

Pada perlawanan peringkat separuh akhir di Drexel University di Philadelphia pada Khamis, Nicol mengalahkan Joelle King dari New Zealand 14-12, 11-4 dan 11-6 dalam masa 38 minit.

"Saya bersyukur dapat sekali lagi mara ke peringkat akhir, saya akan rehat dan fokus mengenai apa yang perlu saya lakukan dan buat yang terbaik," katanya yang dipetik laman web rasmi kejohanan itu www.usopensquash.com.

Pada set pertama, Nicol perlu bekerja keras apabila Joelle berjaya menyamakan kedudukan 8-8 sebelum mendahului 10-9 berikutan beberapa kesilapan oleh Nicol.

Pada perlawanan akhir, Nicol akan bertemu pemain pilihan kedua dan nombor dua dunia Laura Massaro.

Laura menempah tempat ke peringkat akhir selepas mengalahkan pemain nombor dua Malaysia, Low Wee Wern dalam perlawanan sengit lima set yang mengambil masa satu jam 26 minit.

Laura memenangi perlawanan itu 11-6, 9-11, 11-6, 9-11 dan 11-7.

Perlawanan akhir kategori wanita Terbuka AS akan diadakan pada 7 petang ini(7 pagi Sabtu waktu Malaysia).