NEYMAR tampak gembira untuk kekal di Paris Saint-Germain (PSG), beberapa bulan selepas cuba untuk meninggalkan juara Ligue 1 itu.

Pemain Brazil itu dikaitkan dengan kepulangan ke Sepanyol dalam jendela perpindahan sebelum ini tetapi urusan untuk kembali ke Barcelona atau menyertai Real Madrid gagal diselesaikan.

Dia mempamerkan aksi terbaik bersama skuad kendalian Thomas Tuchel itu bagi musim 2019-20, menjaringkan sembilan gol dan mencatat lima bantuan jaringan dalam 11 penampilan bagi semua kejohanan walaupun mengakui dia mahu meninggalkan PSG sehingga diejek oleh penyokong di Paris sewaktu pulih daripada kecederaan ketika menentang Strasbourg, September lalu.

Kini, pemain berusia 27 tahun itu menegaskan tiada sebab untuk dia cuba keluar dari Parc des Princes, bandar di mana dia mencipta rekod perpindahan dunia bernilai EUR222 (RM1.02 juta), dua tahun lalu.

"Mengapa saya perlu keluar? Saya masih mempunyai kontrak selama dua tahun dan pasukan terus berkembang," katanya kepada France Football.

"Kami perlu kekal fokus untuk musim ini dan menjulang seberapa banyak trofi yang boleh.

"Musim ini, sasarannya adalah Liga Juara-Juara Eropah. Keutamaan saya adalah PSG, menampilkan usaha maksimum setiap minggu. Sasaran hanyalah memenangi setiap perlawanan."

Walaupun sering dikecam kerana sifat pentingkan diri di atas padang, Neymar menegaskan hanya beberapa orang yang mengenali personalitinya dan dia bukan mahu mengejar penghormatan peribadi.

"Saya tidak bermain untuk menjadi nombor satu. Saya beraksi hanya kerana cintakan bola sepak. Saya gembira apabila bermain. Setiap kali di atas padang, saya berikan 100 peratus," tambahnya.

"Ada fikir kesempurnaan wujud? Hanya Tuhan yang sempurna. Semua orang ada kekurangan. Ketua adalah seseorang yang harus membantu mendapatkan kemenangan. Mereka mungkin kapten atau penjaring gol. Semua orang mempunyai cara tersendiri untuk menjadi ketua.

"Hanya beberapa orang yang mengenali Neymar sebenar. Hanya ibu bapa dan rakan saya. Apa yang orang ramai lihat jelas berbeza. Akhirnya, mereka langsung tidak melihat!

"Neymar yang sebenar sangat tenang dan gembira. Dia adalah seorang yang menikmati masa bersama keluarga dan rakan."