Pemain tengah Pulau Pinang Mohd Faiz Subri menerima persalinan lengkap busana tradisional Melayu berserta tanjak Mahkota Alam daripada Armada Melaiu Malaysia, malam tadi.

Penyerahan persalinan itu oleh Yang DiPertua AMM Mass Ahmad Kamal kepada Mohd Faiz dilaksanakan seperti adat menghantar pergi utusan pembesar Kerajaan Melayu lama sebagai simbol tanda doa seluruh rakyat Malaysia.

Selain itu, ia juga sebagai sokongan semangat terhadap kesungguhan Mohd Faiz memakai busana tradisional Melayu di persada antarabangsa yang disifatkan sebagai orang muda yang bersemangat jati diri tinggi.

Mohd Faiz merupakan calon bagi Anugerah Puskas 2016 yang pemenangnya akan diumumkan pada Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, 9 Jan ini.

Beliau akan berlepas ke Zurich, Switzerland esok bagi menghadiri majlis itu yang akan berlangsung Isnin ini.

Baru-baru ini, Mohd Faiz menerima persalinan lengkap baju Melayu berserta songket yang bakal dipakai pada majlis itu daripada Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA).

Mohd Faiz merupakan finalis dalam kategori gol tercantik bersama-sama dua pemain lain iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain bola sepak wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela.

Mengulas mengenai persalinan itu, Mass Ahmad berkata persalinan tradisional itu merupakan gaya bangsawan serta tanjak songket itu diperbuat khas untuk Mohd Faiz agar sentiasa berjaya di arena bola sepak.

Katanya, selain ISMMA, AMM pun berniat menghadiahkan busana tradisional dan bukannya bersaing dengan pihak lain.

Sementara itu, Mohd Faiz yang menghargai pemberian persalinan itu dan akan membawa kesemua persalinan tradisional yang diberikan kepadanya.

Katanya, beliau tidak kekok memakainya kerana ia merupakan kebanggaan dan adat masyarakat Melayu walaupun dikelilingi dengan calon-calon memakai tuxedo.

"Bagaimanapun saya tidak dapat janji saya akan pakai semasa anugerah itu tetapi saya akan cuba pakai di luar dewan atau di hotel. Saya tidak berani janji sebab cuaca di Zurich adalah negatif lapan," katanya ketika ditemui. -- Bernama