APABILA Liga Profesional Mobile Legends (MPL) kini terpalit dengan kontroversi pertukaran pemain, tumpuan sekarang ini perlu beralih kepada potensi pasukan bukan pilihan (underdog) We Own World (WoW) yang dilihat dahagakan slot terakhir dalam liga itu.

WoW bakal berdepan dengan pasukan gergasi tempatan, Flash Vision Mysterious Assassins (Fv.MyA) dalam pusingan wild card yang akan berlangsung pada Ahad.

Pengurus pasukan WoW Muhammad Amir Nusahir Mohd Azlan berkata kunci kemenangan mereka lebih banyak bergantung kepada kekuatan kawalan emosi setiap pemain pasukan itu.

Dia mengakui perasaan gemuruh memang tidak boleh disorok apabila berdepan dengan pasukan yang kuat.

Namun jelasnya, ia bukan alasan untuk mereka tidak memberi yang terbaik apabila menentang MyA nanti.

“MPL merupakan kejohanan besar kedua yang kami pernah sertai dan kami pernah berdepan dengan MyA ketika di kejohanan e-Curve.

“Setiap pemain akan gemuruh apabila akan bersaing dengan pasukan yang dilihat lebih kuat. Kami akan buat yang terbaik.

“Saya mengharapkan pasukan kami dapat mara ke peringkat liga. Ini impian kami,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Muhammad Amir berkata WoW akan mempelajari kesilapan yang dilakukan apabila berdepan dengan pasukan ICON MY pada pusingan kelayakkan minggu lalu.

“Kami sudah melakukan persiapan rapi ketika itu. Namun mungkin kerana kami menghampiri untuk ke layak ke liga, didatangi pula perasaan gementar itu.

“ICON MY juga mempunyai kelebihan dari segi kekuatan individu dan pengalaman mereka sertai kejohanan profesional. Kami pula hanya pasukan yang biasa-biasa sahaja,” tambahnya.

Pasukan WoW terdiri daripada Syafiq Aznee “Shanks" Azhar, Mohd Syahmi "Vinsmoke" Mohd Shamsol, Mohamad Aiman "Xray" Idris, Zairul hazim "Dragon" Zailani, Wan Muhammad Afif "Luffy" Wan Abdul Aziz, dan Mohd Azri "Mihawk" Abdul Rahman.

Antara pencapaian yang pernah diraih termasuk tempat ketiga Kejohanan e-Curve, Juara Kejohanan Terbuka Melaka dan Juara Kejohanan Terbuka Selangor.

Meski dilabel sebagai pasukan underdog, WoW dilihat mampu menggegarkan empayar pasukan gergasi tempatan dengan kekuatan kerjasama pasukan tersebut.