Pengurus Besar AirAsia Saiyan Jeffery Chen dan Pengurus Flash Vision Mysterious Assassins (Fv.MyA) Benny Teh dinasihatkan untuk memberi tumpuan lebih dalam menguruskan pasukan masing-masing daripada mencetuskan drama murahan di media sosial.

Itu gesaan kapten pasukan Mystic Burden (MCB) Ajwad “Kuja” Mohd Yusof yang melihat tindakan kedua-dua pengurus tersebut berlebih-lebihan dalam menyebarkan spekulasi pertukaran pemain melibatkan pasukannya dan pemain profesional Mohd Haqqani '2ez4jepv' Jaffar.

Kuja berkata tindakan Jeffery dan Benny itu dilihat memberi imej buruk dan menjejaskan reputasi MCB dalam arena persaingan Mobile Legends tempatan.

“Jika mereka ada masalah, sepatutnya diadukan kepada pihak penganjur bukan dengan memuat naik status di media sosial.

“Walaupun Benny sudah meminta maaf dan menurutnya tidak berniat untuk berdendam kepada MCB atau 2ez4jepv namun ia telah memberi kesan kepada kami berikutan tindakan ‘membawang’nya (menyebarkan desas-desus) itu.

“Pendek cerita, mereka memang tidak profesional,” jelas Kuja kepada Astro AWANI hari ini.

BACA: Mobile Legends: 'Saya minta maaf' - Benny Teh

Sebelum ini timbul dakwaan dan spekulasi di media sosial mengenai 2ez4jepv yang dikatakan melompat pasukan daripada Everyday Gaming ke MCB selepas pusingan kelayakan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) berlangsung.

Spekulasi tersebut timbul apabila Benny memuat naik status beberapa hari yang lalu, yang mempersoalkan tindakan penganjur yang membenarkan pertukaran pemain selepas pusingan kelayakan tamat.

Menurut Kuja, tindakan Benny itu jelas menunjukkan dia gagal mempamerkan kredibiliti sebagai seorang pengurus yang baik.

“Mungkin tindakan Benny itu adalah kerana dia tertekan kerana pasukannya kini terpaksa melalui pusingan Wild Card menentang We Own World (WoW) nanti.

“Bila dillihat semula perlawanan kelayakan MPL baru-baru ini, Wow dilihat lebih menonjol berbanding MyA.

“Mungkin disebabkan ini, Benny tidak boleh duduk diam dan mahu ‘kacau’ orang lain,” tambahnya

Sementara itu, Kuja juga menyeru semua pihak supaya menghentikan gosip serta menyelidik segala informasi yang diterima daripada mensensasikan keadaan.

"Kaji dulu informasi sebelum cetus spekulasi. Terutama Jeffery, yang mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa di media sosial tanpa mengetahui cerita sebenar dan beban yang ditanggung 2ez4Jepv.

"Tolong jangan buang masa untuk mensensasikan cerita," kata Kuja lagi.

MCB bersama tujuh lagi pasukan tempatan dan Singapura bakal bersaing peringkat liga pada 10 Ogos nanti bagi merebut gelaran juara MPL musim ini, yang menawarkan hadiah wang terkumpul RM399,000.