Akui, fahami, perbaiki dan tiada masa untuk menunding jari.

Inilah yang apa terus dilakukan AirAsia Saiyan yang mengakui melakukan kesilapan ketika pertarungan peringkat upper bracket Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura 2018 semalam menentang musuh tradisi Mysterious Assassins (MyA).

Pemain AirAsia Saiyan Ahmad Fuad Razali yang senang dikenali sebagai Fredo berkata kesilapan itu berlaku berikutan masalah teknikal komunikasi ketika kedua-dua pasukan berperang di kawasan Lord.

“Salah seorang daripada ahli pasukan kami tidak dapat mendengar dengan jelas apabila objektif kami ketika itu hanya untuk mengumpan MyA.

“Jadi apabila hero assassin iaitu Lancelot mati dalam pertarungan, hala tuju pertarungan sudah berubah memandangkan ia adalah punca pemberi kemusnahan (damage) kami.

“MyA menggunakan dua hero marksman dan kami tidak menjangkakan mereka akan menggunakan meta (Strategi Paling Efektif) seperti ini.

"Memang satu pembawakan meta yang sangat baik terutama apabila mereka melakukan pertahanan dan serangan balas,” kata Fredo ketika ditemui Astro AWANI pada Sabtu di Kejohanan MPL yang berlangsung di pusat membeli-belah One Utama, selepas tamat perlawanan menentang MyA.

Pemain tank MyA 2ez4Jepv cuba mengumpan AirAsia Saiyan semula, ketika King Zyzz dan Soloz mencari Gripex yang menggunakan hero assassin Lancelot. - Foto Facebook / Mobile Legends
Detik-detik apabila King Zyzz yang menggunakan Roger dan Soloz menggunakan Helcurt ketika membunuh Gripex yang menggunakan Lancelot. - Foto Facebook / Mobile Legends
Lancelot yang dimainkan Gripex AirAsia Saiyan berjaya dibunuh oleh Helcurt yang digunakan Soloz MyA. - Foto Facebook / Mobile Legends
Jelasnya, AirAsia Saiyan akan terus bangkit dan tekad untuk berjumpa dengan MyA sekali lagi untuk menebus kesilapan mereka.

“Kami dalam AirAsia Saiyan seperti adik beradik. Jika ada kesilapan memang kami akan mengaku dan kami akan terus mencari penyelesaian.

“Kami tersilap ketika pemilihan hero dan akhirnya menyebabkan kekalahan walaupun ketika itu kami mempunyai satu perlawanan sahaja lagi untuk menang. Kami sangat mahu untuk bertarung dengan MyA sekali lagi,” jelasnya.

Berikutan kekalahan ke atas MyA itu, AirAsia Saiyan jatuh ke peringkat lower bracket dan bertembung dengan Team Eksdi.

Terus bangkit dari kekalahan, AirAsia Saiyan terus menewaskan Team Eksdi 2-0 dan akan berdepan dengan gergasi kota Singa, iaitu Tyrants.

Kejohanan MPL yang berlangsung sejak Jumaat dan akan berakhir hari ini menawarkan hadiah wang keseluruhan melebihi RM230,000 dengan juara membawa pulang RM110,000.