Jaguh seni bela diri campuran (MMA) wanita negara Jihin Radzuan sekali lagi mencatat kemenangan bergaya di kejohanan ONE selepas menundukkan petarung Taiwan, Jenny Huang.

Pertarungan ONE: Destiny Of Champions di ibu negara malam tadi, menyaksikan kemenangan Jihin diperoleh menerusi keputusan juri selepas bertarung tiga pusingan.

Pada pusingan pertama lagi, anak kelahiran Johor berusia 20 tahun itu sudah mula mendominasi lawannya.

Sungguhpun Jihin kelihatan seolah terikut rentak permainan Huang dengan bertarung di ‘ground’, namun dia berjaya mengawal permainan dengan baik.

Malah, Jihin turut beberapa kali telah membuat cubaan untuk membuat kuncian 'guillotine choke' terhadap Huang, namun tidak berjaya.

Sorakan gemuruh “Malaysia! Malaysia!” menggamat suasana Stadium Axiata, dan memberi semangat kepada Jihin untuk terus mendominasi pertarungan.

Meskipun terdapat cubaan dari Huang untuk membuat kuncian ‘triangle choke’ di hujung pusingan kedua, ia bagaimanapun berjaya diatasi Jihin.

BACA: Jihin 'Shadowcat', si gadis MMA pencinta kucing

BACA: Jihin Radzuan tunaikan janji kemenangan untuk Malaysia

Pusingan ketiga pula menyaksikan kedua-dua petarung terus mempamerkan aksi MMA kelas dunia, dan apabila pertarungan tamat, ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepada Jihin.

Dengan keputusan tersebut, Jihin kini melebarkan rekod kemenangan tanpa kalahnya kepada 5-0.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi jaguh utama negara Agilan Thani apabila dia tewas di tangan petarung Kyrgyzstan, Kiamrian Abbasov pada pusingan pertama.

Biarpun berjaya bangkit selepas beberapa kali dihempas pihak lawan, namun kepantasan Abbasov mengunci dari belakang menerusi 'rear naked choke' memaksa Agilan menyerah kalah pada minit 2:35.

Kekalahan tersebut, bagaimanapun tidak mematahkan semangat atlet mahupun penyokong 'harimau-harimau tempur' Malaya untuk terus memberi sorakan padu di stadium.