Malaysia melakar kemenangan yang membanggakan malam tadi apabila dua jaguh MMA negara berjaya menundukkan lawan mereka di kejohanan ONE Championship ‘Pursuit of Powers’.

Kemenangan itu disumbangkan oleh atlet wanita, Jihin ‘Shadow Cat’ Radzuan dan juga Keanu Subba.

Kedua-dua mereka merupakan bekas juara kejohanan MMA amatur Malaysian Invasion (MIMMA).

Jihin menumpaskan peserta Indonesia, Priscilla Hertati Lumban Gaol menerusi keputusan pengadil selepas tiga pusingan.

Hampir keseluruhan permainan dibawa ke ‘ground’ menerusi skil jiu-jitsu hebat yang dipamerkan gadis berusia 19 tahun itu.

Kesemua pergerakan Priscilla berjaya disekat dan dihalang sehingga akhirnya kemenangan memihak kepada Jihin.

Jihin ketika mengulas mengenai kemenangannya di media sosial, Instagram berkata perjalanannya masih jauh namun dia mampu melaluinya menerusi sokongan pihak di sekelilingnya.

“Terima kasih kepada jurulatih saya, Melvin Yeoh kerana sentiasa berasa di sisi saya sejak hari pertama saya melangkah ke gelanggang,” tulisnya.

Selain itu, Jihin turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa menyokongnya termasuk lawannya yang disifatkannya sentiasa merendah diri.

Sementara itu, Keanu Subba pula tampil lebih hebat setelah kembali ke gelanggang selepas setahun tidak berlawan.

Keanu Subba (kiri) mengasak lawannya Xie Chao dari China pada kejohanan ONE: Pursuit Of Powers di Stadium Axiata, malam tadi. - Foto ONE

Dengan hanya satu pusingan, adik kepada jaguh MMA negara Gianni Subba itu menewaskan lawannya, Xie Chao dari China melalui kuncian ‘arm-bar’.

Kemahiran yang dipamerkan Keanu membuatkan pihak lawannya tidak mampu mempertahankan diri dan seterusnya menyerah kalah.

Kemenangan Keanu dan Jihin disambut dengan sorakkan gemuruh oleh penyokong tempatan yang menggamatkan Stadium Axiata.

Dengan kemenangan tersebut, rekod Keanu kini 6-3.

Dalam pada itu, seorang lagi jaguh negara, Agilan Thani tumpas di tangan atlet Sweden, Zebaztian Kadestam dalam pusingan ketiga.

Bagaimanapun prestasi Agilan tetap membanggakan apabila dia memberi tentangan hebat terhadap lawannya itu.

Kemenangan itu, menurut Zebaztian, adalah tidak mudah kerana dia sendiri mengalami kecederaan di tangan dan turut mengakui Agilan seorang yang sangat kental.