JUARA dunia UFC flyweight, Henry Cejudo hanya memerlukan 32 saat untuk mengekalkan takhtanya selepas menundukkan pencabar TJ Dillashaw dalam kejohanan UFC Fight Night 143, pada Ahad.

Pertarungan menyaksikan kedua-dua jaguh dari Amerika Syarikat itu bertembung untuk merebut kejuaraan flyweight dalam aksi pembuka tirai 2019 UFC yang berlangsung di Brooklyn, New York.

Ini juga kali pertama tali pinggang ‘UFC Legacy Belt’ diberikan kepada juara.

Cejudo menewaskan Dillashaw yang juga merupakan juara dunia UFC bantamweight pada pusingan pertama.

Pertarungan dimulakan dengan serangan pantas dari Cejudo yang menolak Dillashaw sehingga jatuh diikuti dengan sepakan kaki kanan ke bahagian badan.

Ia diikuti pula dengan satu lagi tumbukan oleh Cejudo yang sekaligus merebahkan Dillashaw.

Cejudo kemudiannya melancarkan serangan bertubi-tubi ke bahagian badan dan muka Dillashaw sehingga pengadil terpaksa menghentikan pertarungan, dan mengisytiharkan Cejudo sebagai pemenang.

Paige VanZant (kiri) diisytihar pemenang selepas mengalahkan saingan senegaranya, Rachael Ostovich dalam aksi UFC Fight Night 143. - Foto AP

Sementara itu, dalam satu lagi pertarungan, atlet MMA wanita Amerika Syarikat, Paige VanZant mengalahkan saingan senegaranya, Rachael Ostovich pada pusingan kedua menerusi ‘submission’.

VanZant yang sudah hampir setahun tidak bertarung selepas tewas dengan Jessica-Rose Clark, berjaya membuat ‘comeback’ yang cemerlang dalam kejohanan ini.

Kemenangan ini melebarkan rekod atlet berusia 24 tahun itu kepada 8-4.