Kejohanan MMA, Malaysian Invasion musim kelima (MIMMA5) menyaksikan dua beradik, Naimul Amal Othman dan Dhiaaul Amal Othman muncul juara untuk kategori masing-masing.

Naimul Amal, 29 tahun dari Selangor menjadi juara untuk kategori flyweight selepas menewaskan pesaingnya, Jay Muran dari Sarawak menerusi 'knockout' teknikal (TKO).

Adiknya Dhiaaul Amal, 25 tahun, pula muncul juara kategori untuk bantamweight selepas menewaskan Effendey Kalai dari Sabah menerusi kuncian armbar.

Selain dua petarung tersebut, acara tahunan itu turut menyaksikan lima lagi juara baru bagi kategori heavyweight, welterweight, lightweight, middleweight dan flyweight wanita.

Seorang lagi petarung, Damon Soo dari Kuala Lumpur, bagaimanapun berjaya mempertahankan kejuraannya untuk kategori featherweight.

MIMMA merupakan cetusan idea Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama bekas Ketua Pengarah Eksekutif Tune Talk, Jason Lo.

Pertandingan yang diadakan Stadium Juara, Bukit Kiara malam tadi itu merupakan kejohanan MMA amatur terbesar di Asia ketika ini.