JUARA seni bela diri campuran (MMA) wanita dari ONE Championship, Angela Lee disahkan secara rasmi akan beraksi di Kuala Lumpur pada acara ONE: Masters of Destiny yang akan berlangsung pada 12 Julai depan.

Angela 'Unstoppable' Lee yang memegang rekod MMA 9-1 dan penyandang kejuaraan divisyen atomweight akan menentang Michelle Nicolini, petarung yang terkenal dengan ketangkasan dalam skil Brazilian Jiu Jitsu.

Apa yang menarik ialah Lee tidak akan mempertahankan kejuaraan atomweight-nya tetapi pertarungan ini akan diadakan dalam divisyen strawweight.

Ini merupakan pertarungan kedua Lee dalam divisyen strawweight. Pada Mac lepas, Lee diberi peluang untuk mencabar juara strawweight ONE Xiong Jingnan, namun tewas menerusi TKO pada pusingan kelima.

Senasib dengan Lee, Nicolini juga akan cuba mendapatkan kemenangan selepas tewas di tangan Tiffany Teo pada pertarungan terakhirnya yang berlangsung pada November 2018 diacara ONE: Heart of the Lion di Singapura.

Selain pertarungan Lee menentang Nicolini, beberapa petarung negara juga akan membuat kemunculan di ONE: Masters Of Destiny nanti seperti Ev Ting, Jihin Radzuan dan Saiful Merican.