Jaguh sukan seni beladiri campuran (MMA) negara, Muhammad Aiman Raziz Affindi mengakui dia kini sudah matang dan lebih berpengalaman dalam menghadapi pertarungan di gelanggang.

Muhammad Aiman, 23 tahun, merupakan Wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan ONE Championship 'Beyond The Horizon' yang akan berlangsung di Shanghai, China pada Sabtu ini.

"Gementar juga sebab di sana (China) lah saya mengalami kekalahan buat pertama kali. Namun kali ini, saya rasa saya telah menjadi seorang petarung yang lebih baik berbanding dulu. Cuma saya harap kat sana tak sejuk la," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas tentang lawannya nanti, Muhammad Aiman berkata dia yakin boleh menang kerana ada sokongan yang kuat dari rakyat Malaysia di belakangnya.

Anak kelahiran Kuala Pilah itu bakal berdepan dengan petarung dari China, Chen Lei yang pernah menewaskan seorang lagi atlet MMA negara, Saiful Merican di Macau tahun lalu.

"Tidak banyak yang saya tahu tentang dia (Chen Lei), yang saya tahu dia pernah bertarung dengan Saiful Merican dan 'ground game' dia bagus," ujarnya.

Sungguh pun begitu, Muhammad Aiman berkata dia telah belajar menjadi seorang yang lebih sabar, dan dia akan menggunakan kesabaran itu untuk menewaskan lawannya nanti.

"Walapun saya rasa nak tumbangkannya pada pusingan ketiga, tetapi kesabaran lah cara untuk mengalahkannya," tambah Muhammad Aiman.