LIONEL MESSI berkata anak lelakinya yang berusia enam tahun telah bertanyakan kepadanya mengapa dia mendapat kritikan hebat di Argentina.

Ketika Messi menjadi inspirasi buat Barcelona meneruskan dominasi mereka dalam saingan domestik dan peringkat Eropah, kejayaan di peringkat antarabangsa masih kekal menjadi sesuatu yang didambakan bintang dunia itu.

Argentina mensia-siakan dua final Copa America secara berturut-turut dan tewas kepada Jerman dalam aksi final Piala Dunia 2014 walaupun menggunakan khidmat Messi.

Selepas Argentina disingkirkan Perancis dalam pusingan 16, Piala Dunia Russia tahun lalu, Messi meninggalkan skuad kebangsaan negaranya, namun kembali menguatkan pasukan itu -- selepas berehat sembilan bulan -- ketika mereka tewas kepada Venezuela minggu lalu.

Ekoran itu, Messi sekali lagi menarik diri daripada aksi persahabatan dengan Maghribi Selasa lalu dan keadaan itu membuka kembali persoalan mengenai komitmennya dengan negara kelahirannya itu.

Bagaimanapun, kapten Argentina itu segera memberikan reaksi balasnya menerusi temu bual dengan sebuah syarikat radio di Buenos Aires, FM Club 947.

"Saya benar-benar mahu memenangi sesuatu dengan skuad kebangsaan.

"Saya mahu kembali dan menyertai segala perlawanan-perlawanan besar.

"Apabila saya membuat keputusan untuk kembali, terlalu ramai yang mengkritik keputusan itu.

"Anak saya yang berusia enam tahun bertanyakan kepada saya: 'Ayah, mengapa mereka hina kamu di Argentina?'.

"Saya memberitahunya bahawa mereka hanya segelintir sahaja. Saya berminat untuk mewakili Argentina dan tidak perlu membuktikannya kepada sesiapa," katanya.

Lionel Scaloni, yang menggantikan Jorge Sampaoli selaku ketua jurulatih selepas Piala Dunia, mengalu-alukan kepulangan Messi ke dalam pasukan itu dan kapten Argentina itu beranggapan pasukannya kini memiliki masa depan cerah dengan perlembangan bakat muda yang meningkat naik.

"Saya meninggalkan skuad Piala Dunia dan tidak bercakap dengan sesiapa dalam persatuan itu.

"Selepas itu, Scaloni menghubungi saya dan menyarankan agar saya berehat dan bersedia untuk menerima kepulangan saya selepas dia menyiapkan skuad yang mantap.

"Fasa peralihan seperti itu amat normal dan ia sepatutnya berlaku bertahun-tahun dulu.

"Pemain muda muncul dan mereka perlu diberikan masa, kita tidak boleh menghina mereka.

"Mereka merupakan kelompok pemain yang bagus.

"Selain kekalahan kepada Venezuela, mereka beraksi dengan amat baik dan saya memerhatikan perkembangan setiap daripada mereka sewaktu di peringkat kelab dan saya menggemari apa yang sedang berlaku itu," tambahnya.