Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, sedia memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), berhubung dakwaan terdapat pencerobohan di Stadium Hoki Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Megat D Shahriman berkata, beliau tidak mengetahui dengan terperinci berhubung isu pencerobohan itu, melainkan setelah dihubungi pihak polis, yang menerima maklumat terdapat individu daripada KLHA mengadakan sidang media, menggunakan ruang stadium berkenaan.

Justeru, beliau akan segera ke Balai Polis Pantai untuk memberi keterangan berhubung perkara itu, selain tidak teragak-agak membuat laporan polis bagi membersihkan namanya dan ahli gabungan persatuan tersebut.

"Saya ingin memaklumkan kepada polis bahawa tidak ada kebenaran daripada pihak PHKL, sama ada menulis hitam putih atau memohon untuk membuat sebarang sidang media tanpa kelulusan DBKL.

"Tujuan polis hubungi saya mungkin untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai pencerobohan atau tindakan yang memasuki kawasan tanpa kebenaran, kerana kawasan itu bukan pejabat kita (PHKL) lagi. Kita sudah dapat surat makluman sejak 9 Mac untuk kosongkan stadium itu," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.

Rabu lepas Timbalan Presiden PHKL I. Vickneswaran, mengadakan satu sidang media berhubung arahan mengosongkan pejabat PHKL di stadium tersebut, menggunakan salah satu ruang dalam kawasan stadium berkenaan.

Sidang media itu dibuat susulan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan notis kepada PHKL, untuk mengosongkan pejabat mereka di stadium yang terletak di Jalan Pantai Baharu itu dengan serta-merta, susulan kegagalan menguruskan venue itu dengan baik, selain bil utiliti tidak dibayar.

Dalam pada itu Megat D Shahriman berkata, kali terakhir pihaknya memasuki kawasan stadium berkenaan adalah pada 6 Jun, untuk mengadakan gotong royong selepas mendapat kebenaran bertulis daripada DBKL.

-- BERNAMA